Akhirnya, Indira Gandhi dipanggil polis


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Polis ambil keterangan M. Indira Gandhi kali pertama walaupun lebih 20 laporan dibuat terhadap bekas suaminya sepanjang sedekad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

POLIS mengambil keterangan M. Indira Gandhi pada Khamis lalu, dan itu adalah kali pertama mereka berbuat demikian walaupun bekas guru tadika itu memfailkan lebih 20 laporan terhadap bekas suaminya sepanjang sedekad lalu.

Indira Gandhi sepanjang 10 tahun lalu berjuang di mahkamah untuk membatalkan pertukaran agama anaknya secara sebelah pihak, dan mendapatkan semula anak bongsunya Prasana Diksa daripada bekas suaminya yang sudah memeluk Islam, Muhammad Riduan Abdullah yang turut menukar agama anak mereka kepada Islam tanpa kebenarannya sebagai ibu.

Akhirnya beliau menang di Mahkamah Persekutuan pada Januari tahun lalu di mana hakim mengisytiharkan pertukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sebelah pihak tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapa adalah tidak sah, dan sekali gus mengembalikan hak jagaannya terhadap Prasana yang kini berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, Riduan mengingkari perintah mahkamah untuk memulangkan Prasana, menyebabkan Indira Gandhi membuat beberapa laporan terhadapnya sejak beberapa tahun lalu.

Tetapi hanya selepas beberapa dakwaannya dalam laporan polis terbarunya bahawa pengikut pendakwah Dr Zakir Naik, penyokong PAS dan pemisah selatan Thailand membantu Riduan menyembunyikan Prasana, barulah polis menghubunginya untuk diambil keterangan.

“Indira membuat 21 laporan polis sebelum ini, dan ini adalah laporan ke-22,” kata jurucakap Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Doraisamy, satu kumpulan yang menyokong dan membantu Indira mencari Prasana.

“Dan ini adalah kali pertama beliau dipanggil memberi keterangan. Ini sangat mengecewakan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Arun berkata laporan pertama Indira terhadap tindakan suaminya menukarkan agama anak mereka dibuat pada Mac 2009 tetapi beliau tidak pernah dipanggil memberi keterangan.

“Beliau juga membuat laporan terhadap ketua polis negara kerana tidak melaksanakan perintah mahkamah untuk menahan Riduan, tetapi tiada tindakan diambil.

“Itulah budaya PDRM selama ini. Ini kali pertama keterangannya diambil,” kata Arun.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 ketika Khalid Abu Bakar menjadi ketua polis negara sebelum bersara pada September 2017.

Indira berkata beliau percaya beliau dipanggil kali ini kerana menamakan pengikut Zakir Naik.

“Polis hendak tahu dari mana saya dapat sumber maklumat itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Arun berkata maklumat itu diperoleh daripada orang awam.

Zakir, berasal dari Mumbai dikehendaki di India kerana berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan turut didakwa mencetuskan perbuatan keganasan menerusi dakwahnya. Zakir melarikan diri dari India dan kini menetap di Malaysia, di mana beliau adalah pemegang status warganegara tetap. – 30 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen