Polis buru remaja suspek tembakan rambang di California


Seorang remaja melepaskan tembakan secara rambang di Festival Gilroy Garlic di California pada Ahad lalu menyebabkan tiga mati termasuk kanak-kanak. – Gambar AFP, 30 Julai, 2019.

SEORANG remaja 19 tahun dikenal pasti sebagai penembak dalam insiden tembakan rambang di Amerika Syarikat (AS) – menyebabkan tiga mati termasuk dua kanak-kanak, sementara 12 yang lain cedera.

Santino William Legan menggunakan senapang jenis AK-47 menembak secara rambang di Festival Gilroy Garlic di California pada Ahad lalu, kata pihak berkuasa sebelum dia ditembak polis seminit selepas itu.

Pihak berkuasa berkata motif pembunuhan belum diketahui.

Tetapi media melaporkan penyiasat sedang meneliti akaun media sosial Legan termasuk Instagram yang dibuka empat hari lalu di mana beliau menunjukkan imej ketuanan kulit putih.

Satu mesej di akaun itu sejurus sebelum serangan ialah termasuk gambar orang ramai di festival berkenaan, lapor media.

Ketua Polis Gilroy, Scot Smithee berkata penyiasat cuba mengesahkan keterangan saksi tentang suspek kedua yang mungkin membantu Legan.

Antara mangsa yang maut ialah Stephen Romero, 6, yang datang ke festival itu bersama ibu dan neneknya yang turut cedera dalam serangan itu. Dua lagi mangsa dikenali sebagai Keyla Salazar, 13, dan Trevor Irby, seorang pelajar kole.

Media tempatan melaporkan seorang mangsa cedera kritikal dan semua yang cedera berusia antara 12 dan 69 tahun.

Insiden pembunuhan itu mencatatkan kejadian terbaru dalam epidemik keganasan senajta di AS, yang menyebabkan hampir 300 maut tahun ini.

Polis berkata Legan berjaya meloloskan dirinya daripada pemeriksaan keselamatan dan masuk ke festival yang dihadiri 100,000 dan dianggap sebagai pesta makanan terbesar musim panas.

Festival tiga hari itu diadakan di sebuah bandar, 130km di tenggara San Francisco. – AFP, 30 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen