PULUHAN ribu botol berisi air yang sepatutnya dihantar kepada mangsa taufan di Puerto Rico ditemui dibuang di sebuah kawasan landang di Amerika Syarikat (AS), hampir dua tahun selepas kejadian bencana itu, kata pegawai bantuan kecemasan.
Imej dari udara menunjukkan lautan botol air, dibungkus dalam bungkusan besar, dilonggokkan di sebuah estet persendirian di kawasan Higuillar di Dorado, 40km di barat San Juan.
Dalam beberapa gambar, botol air itu terlalu banyak. Dan dalam gambar lain, beberapa bungkusan itu sudah pecah.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana AS (FEMA) mengesahkan ia menyediakan air dalam botol sebagai sebahagian bantuan kemanusiaan untuk mangsa taufan Maria, yang berlaku pada September 2017.
Air itu sudah tamat tempoh dan botolnya diandaikan dalam proses untuk dibuang dan dikitar semula.
Jurucakap berkenaan enggan memberikan butiran lanjut berhubung bagaimana semua bantuan air itu berada di situ, dan berapa lama ia disimpan di ladang itu, dan kenapa ia dibiarkan hingga tamat tempoh.
Katanya, perkara itu sedang dikaji oleh jabatan undang-undang.
Sebahagian besar Puerto Rico bergelap dan tiada bekalan air selepas berbulan-bulan akibat dua taufan iaitu Irma dan Maria yang melanda wilayah AS itu pada 2017, menyebabkan hampir 3,000 orang maut.
Kerajaan Puerto Rico dikecam kerana lembap dan tidak cekap dalam menangani usaha pemulihan mangsa taufan itu. – AFP, 30 Julai, 2019.
Komen