Bedah siasat Jong-nam lewat kerana bantahan Korea Utara


Muzliza Mustafa

Warga Indonesia, Siti Aisyah yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibawa ke luar mahkamah selepas perbicaraan berakhir semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

BEDAH siasat terhadap mayat Kim Jong-nam dilakukan lewat 24 jam susulan bantahan daripada Kedutaan Korea Utara, kata Ketua Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Shah Mahmood di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan mengenai prosedur bedah siasat yang dilakukannya ke atas seorang lelaki dengan pasport bernama “Kim Chol” yang diperoleh menerusi pihak berkuasa.

“Ada bantahan yang dibuat menerusi wakil mereka kepada PDRM (Polis Di Raja Malaysia) dan kepada wakil Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Pada awalnya Dr Mohd Shah memberitahu mahkamah yang beliau tidak tahu siapa membantah bedah siasat itu kerana tiada dalam rekod tetapi mengaku mengetahui bantahan itu dibuat oleh wakil DPRK – nama rasmi Korea Utara.

Beliau turut bersetuju dengan soalan peguam bela yang mengatakan ada tekanan daripada “pihak kedutaan” menyebabkan kelewatan berlaku.

“Kita tunda (bedah siasat) hingga dapat kebenaran,” katanya.

Peguam Naran Singh kemudian bertanya kepada Mohd Shah mengenai prosedur bedah siasat itu.

Mohd Shah berkata beliau sebelum itu sudah meminta rekod si mati daripada pihak berkuasa berkaitan tetapi gagal.

Beliau memberitahu mahkamah pengesahan identiti si mati dilakukan oleh pegawai penyiasat kes dan mayatnya dilepaskan selepas bedah siasat juga dengan pengesahan pegawai berkenaan tanpa melakukan perbandingan DNA.

“Saya hanya mendapat satu sampel darah dari si mati dan tidak mengetahui sama ada perbandingan DNA diperlukan untuk mengesahkan identiti si mati,” katanya.

Peguam kemudian mendakwa penjelasan itu membuktikan bahawa identiti mayat itu ialah Kim Chol sepertimana tertera dalam pasportnya dan bukanlah Kim Jong-nam.

Dr Mohd Shah bagaimanapun berkata itu “bukan dalam pengetahuan” beliau.

Prosiding kemudiannya diteruskan dengan saksi ketujuh Dr Ranjini Sivaganabalan, pakar toksik klinikal bebas yang mempunyai pejabat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Sesi beliau hanya mengambil masa 10 minit sebelum ditangguhkan pada 4.50 petang.

Prosiding hari keempat esok akan diteruskan dengan saksi Dr Raja Subramaniam dari Pusat Kawalan Senjata Kimia (CWC).

Beliau merupakan individu bertanggungjawab menjalankan ujian yang mengesahkan kehadiran ejen saraf VX dalam semua spesimen kes pembunuhan ini.

Pada 13 Februari lalu Jong-nam meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya setelah mendakwa diserang dua wanita di Klia2 semasa mahu menaiki pesawat ke Macau.

Kematiannya menyebabkan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara.

Malaysia menutup kedutaan di Korea Utara dan meminta duta mereka di negara ini untuk pulang selepas kritikan terhadap kerajaan dan polis dalam siasatan kes ini. – 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen