KAMPUNG Sugud di Penampang Sabah mahu menjadikan lokasi rahsia mereka – kawasan sebuah pesawat tempur Jepun pada Perang Dunia II yang terhempas sebagai satu tarikan pelancong.
Terletak kira-kira 3km dari Hutan Simpan Kampung Sugud, terdapat sebuah bangkai kapal terbang Jepun yang terhempas 75 tahun lalu di sebuah bukit yang tidak dinamakan.
Penemuan bangkai kapal itu tidak pernah dilaporkan kepada orang ramai walaupun diketahui oleh penduduk kampung yang dari semasa ke semasa cuba mencari beberapa bahagian kapal itu untuk digunakan atau dijual sebagai logam besi.
Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Penampang Michael Basol berkata, penduduk tempatan merancang untuk menjadikan tapak penemuan kapal terbang itu sebagai laluan mendaki bagi memenuhi minat penduduk Sabah terhadap aktiviti luar.
“Tapak di mana pesawat Jepun itu terhempas boleh menjadi lokasi tarikan sama seperti Bukit Botak di Sepanggar,” katanya kepada The Malaysian Insight merujuk kepada laluan mendaki yang popular di negeri ini.
Menurutnya, kawasan itu boleh menjadi tidak datar dan sukar di beberapa bahagian tetapi pendaki akan dijanjikan dengan pemandangan cantik sekitar Likas Bay.
“Saya bawa idea pelancongan ini kepada pemilik tanah yang turut sama teruja dengan rancangan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, untuk menjadikan tapak berkenaan sebagai lokasi tarikan memerlukan dana dan Basol berkata beliau sedang menyiapkan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Peristiwa yang berlaku berpuluh abad lalu itu tidak hilang dalam sejarah berikutan ia masih diingati oleh sesetengah warga emas di kawasan berkenaan.
Pada musim menuai sekitar 1944, penduduk kampung sedang menjalankan rutin harian menuai dan mengikat kerbau mereka. Tiba-tiba mereka terdengar bunyi bising enjin pesawat.
Di udara, mereka menyaksikan pertempuran pendek tetapi menakjubkan di atas bukit di mana empat pesawat pejuang British sedang mengejar dua pesawat Jepun.
Seorang penduduk kampung Jetain Honsiung yang berusia 12 tahun ketika itu memberitahu dia melihat salah satu pesawat Jepun terbakar.
Menurutnya, pesawat itu kemudian menjunam ke bukit berhampiran dan beberapa minit kemudian pertempuran pun berakhir.
Jetain merupakan salah seorang penduduk kampung yang bergegas ke lokasi kemalangan pesawat berkenaan.
Bagaimanapun mereka tidak berada lama di kawasan itu kerana takut berdepan tentera Jepun lain.
Basol berkata, mayat juruterbang itu dibawa oleh orang Jepun untuk dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda di sebuah kawasan lain di Sabah.
Selepas kemalangan berlaku, kawasan kemalangan itu tidak diusik sehingga 1988 apabila penduduk kampung mula mendekati bangkai pesawat dan mengambil beberapa bahagian logam sedikit demi sedikit untuk dijual kepada peniaga besi serta digunakan di rumah.

Penduduk Kampung Sugud Harry Colin berkata, penduduk menggunakan bahagian logam itu untuk membuat perkakas dapur dan kegunaan pertanian.
Colin berkata Jetain yang menjadi sumber maklumat utama kampung mengenai kemalangan itu meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Beliau juga menjadi sumber maklumat untuk sekumpulan pelajar di Kampung Sugud yang melakukan projek sejarah mengenai pesawat terhempas.
“Kemalangan itu tidak pernah dilaporkan kepada orang ramai. Saya tidak fikir Jabatan Muzium Negeri mengetahuinya,” katanya.
Hari ini hanya ada dua enjin pesawat yang ditinggalkan, ditenggelami tanah yang diliputi tumbuhan liar dan dikelilingi buah nangka serta pokok getah.
Pesawat Jepun itu bukanlah satu-satunya peninggalan Perang Dunia II yang terhempas di Sabah.
Terdapat tiga lagi bangkai kapal di Teluk Usukan di Kota Belud iaitu kapal pengangkutan Jepun Higane Maru, Hiyori Maru dan Kokusei Maru yang sedang dalam perjalanan ke Manila sebelum tenggelam setelah diserang oleh kapal selam Amerika Syarikat pada 1944 setahun sebelum pendudukan Jepun di Borneo Utara berakhir. – 30 Julai, 2019.
Komen