KOREA Selatan akan membesarkan lagi saiz gambar amaran bahaya merokok yang dipaparkan pada kotak rokok mulai tahun depan dalam usaha untuk mengekang amalan itu, lapor agensi berita Yonhap.
Kementerian Kesihatan dan Kebajikan negara itu berkata pihaknya merancang mengguna pakai undang-undang yang telah dipinda untuk membesarkan saiz gambar dari 50 kepada 75 peratus.
Pada 2016, Korea Selatan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat tembakau supaya meletakkan amaran bergambar di depan dan belakang kotak rokok dengan imej yang perlu diubah setiap 24 bulan.
Pada masa ini, 105 negara turut mengamalkan amaran bergambar seperti itu.
Berdasarkan data kerajaan, kadar merokok bagi lelaki Korea Selatan berusia 19 tahun ke atas adalah 20.3 peratus pada 2018 menunjukkan penurunan berbanding 20.8 peratus pada 2016.
Data Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula meletakkan kadar merokok lelaki Korea Selatan berumur 15 tahun ke atas adalah pada 38 peratus pada 2017, lebih tinggi berbanding purata OECD sebanyak 23 peratus. – Bernama, 29 Julai, 2019.
Komen