KEBANYAKAN transaksi akaun Najib Razak diarahkan oleh Low Taek Jhow, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Malah, pemegang mandat akaun Najib, Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International juga menerima arahan daripada ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu, kata saksi.
Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu bersetuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa Low menyelesaikan masalah berkaitan akaun semasa bekas perdana menteri.
Ketika sesi pemeriksaan balas, Harvinderjit bertanya kepada Yu mengenai perbualannya dengan Nik Faisal menerusi BlackBerry Messenger pada 13 Januari 2015. Yu ketika itu memberitahu Nik Faisal salah satu akaun Najib melebihi pengeluaran sebanyak RM2.26 juta.
Harvinderjit memaklumkan kepada mahkamah, dalam perbualan bersama Yu, Low meminta bekas pengurus perhubungan AmBank itu memastikan cek dari akaun Najib tidak menjadi cek tendang.
Yu berkata beliau memaklumkan kepada Nik Faisal dan Low supaya tidak mengeluarkan cek untuk mengelakkan cek ditendang.
Nik Faisal kemudian memberitahu Yu perkara itu berada di luar bidang kuasanya kerana beliau hanyalah “ciku” atau “ikan bilis”. – 29 Julai, 2019.
Komen