Sentuh penari kelab, perenang Hungary mohon maaf


Tamas Kenderesi yang bersaing pada Kejohanan Dunia di Korea Selatan meminta maaf kerana “tidak sengaja menyentuh” penari kelab malam selepas ditahan atas tuduhan gangguan seksual baru-baru ini. – Gambar EPA, 29 Julai, 2019.

SEORANG perenang Hungary Tamas Kenderesi yang bersaing pada Kejohanan Dunia di Korea Selatan meminta maaf kerana “tidak sengaja menyentuh” penari kelab malam selepas ditahan atas tuduhan gangguan seksual baru-baru ini. 

Pemenang pingat gangsa Olimpik berusia 22 tahun itu dilarang meninggalkan negara berkenaan dan polis tempatan telah menyiasat insiden yang berlaku di sebuah kelab malam di Gwangju terletak kira-kira 330 kilometer di selatan Seoul.

Kenderesi mengakui menyentuh mangsa tetapi menafikan dakwaan gangguan seksual berkenaan.

“Selepas keluar dari tandas dan menuju ke lantai tarian, saya menyentuh belakang seorang gadis Korea yang bekerja sebagai penari kelab.

“Saya tidak pernah berhenti di belakangnya. Saya hanya memegangnya sekejap dan tidak berfikir ia mendatangkan kemarahan gadis berkenaan sehingga membuat aduan terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenderesi yang menamatkan perlawanan akhirnya dalam acara 200 meter renang kupu-kupu lelaki minggu lalu berkata, menyedari keadaan serius itu beliau memberi kerjasama sepanjang proses siasatan.

“Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku dan ingin meminta maaf kepada gadis Korea berkenaan. Tetapi saya menafikan bersalah dalam apa-apa jenis gangguan seksual,” katanya.

Pegawai pasukan Hungary dan badan pentadbiran sukan renang FINA mengesahkan Kenderesi telah dibebaskan tetapi tidak dibenarkan meninggalkan negara berkenaan dalam tempoh 10 hari.

Kenderesi menambah bahawa dia tidak ditunjukkan video kejadian itu tetapi menegaskan, beliau jujur dan percaya dengan kata-katanya akan dibenarkan untuk didedahkan.

“Saya tak melakukan sebarang kesalahan serius,” katanya.

Selepas penahanan atlet berkenaan Pengarah Eksekutif FINA Cornel Marculescu berkata, buat masa ini perenang berkenaan bebas tetapi tidak dibenarkan keluar dari Korea.

“Kita akan lihat langkah seterusnya,” katanya.

Penahanan Kenderesi dibuat sehari selepas balkoni tertutup kelab malam Gwangju itu runtuh menyebabkan dua rakyat tempatan terbunuh dan mencederakan beberapa atlet yang bersaing dalam kejohanan dunia berkenaan. – AFP, 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen