SEBUAH lagi kapal tentera laut United Kingdom (UK) tiba di Teluk Parsi untuk mengawal kapal dagang yang melalui Selat Hormuz, selepas sebuah kapal tangki minyak British dirampas Tehran minggu lepas, lapor agensi berita Anadolu.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan UK pada Ahad, kapal HMS Duncan akan menyertai HMS Montrose untuk memastikan keselamatan kapal British yang melalui Selat Hormuz.
“Kapal Pemusnah Type 45, HMS Duncan akan bekerjasama dengan Type 23 Frigate HMS Montrose sehingga akhir Ogos,” tambah kenyataan itu.
London pada Khamis mengumumkan Tentera Laut Diraja akan mengawal kapal-kapal British yang melalui perairan itu untuk menuju ke Asia Timur.
Sebelum ini, UK meminta semua kapal tangki dan kapal lain yang belayar menggunakan bendera negara itu mengelak melalui selat terbabit buat sementara waktu.
London menyelar tindakan Iran dan menyifatkan negara itu sengaja mahu “mencetuskan permusuhan” , yang didakwa UK berlaku di perairan Oman. – Bernama, 29 Julai, 2019.
Komen