Tiada petunjuk pengikut Zakir Naik bantu mualaf sembunyikan anak, kata KPN 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beliau mahu melihat Prasana Diksa disatukan semula dengan ibunya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Julai, 2019.

POLIS tidak menemui petunjuk sama ada pengikut kepada pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik atau penyokong PAS membantu mualaf Muhammad Riduan Abdullah ingkar perintah mahkamah dengan menyembunyikan anak perempuannya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, yang mengetuai pasukan khas polis untuk mengesan kanak-kanak terbabit, Prasana Diksa, berkata tiada bukti yang menyokong dakwaan kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat).

“Tiada petunjuk berhubung perkara ini,” kata Hamid kepada pemberita pada satu program di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Hamid beliau secara peribadi juga mahu kes berkenaan diselesaikan dengan baik.

“Saya mahu pengakhiran yang baik, kes ini sangat menyedihkan. Saya mahu anak perempuan itu disatukan semula dengan ibunya,” tambahnya.

Bekas guru taska M. Indira Gandhi, yang pada tahun lalu diberikan hak penjagaan terhadap tiga anaknya termasuk Prasana, pada minggu lalu menamakan pengikut Zakir Naik, puak pemisah Selatan Thailand dan kumpulan yang berkaitan dengan PAS di Kelantan dan Terengganu sebagai mereka yang disyaki membantu bekas suaminya menyembunyikan anak perempuannya berusia 11 tahun.

Indira berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Ingat, yang mengambil kes Indira berkata, maklumat dalam laporan polis itu berdasarkan maklumat awam.

Prasana dilarikan oleh Riduan ketika masih bayi 10 tahun lalu selepas beliau menukar agama anaknya kepada Islam.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang berpihak kepada Indira, yang mana pertukaran agama anak oleh salah seorang ibu bapa tidak sah.

Indira kini mencari maklumat yang dapat disahkan mengenai Riduan dan Prasana. Riduan juga ingkar dengan perintah mahkamah untuk memulangkan Prasana dan tertakluk kepada perintah mandamus dari mahkamah untuk polis menangkapnya.

Sementara itu, PAS menuntut permohonan maaf daripada Ingat dan meminta kumpulan berkenaan menarik balik kenyataan yang mengaitkan parti Islam itu dalam penculikan Prasana serta menyifatkan ia sebagai cubaan berniat jahat untuk mengaitkan parti itu kepada ekstremis.– 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen