POLIS menolak unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan loji rawatan dan gangguan bekalan air kepada lebih sejuta pengguna di Lembag Klang dua minggu lalu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini berkata, tumpahan minyak diesel ke sungai terbabit lebih cenderung kepada kecuaian.
“Saya boleh menolak unsur sabotaj. Kami percaya bahawa kecuaian pekerja dari syarikat-syarikat yang diupah oleh kerajaan negeri Selangor telah mencemarkan sungai,” kata Hamid kepada pemberita pada majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Dua lelaki telah ditahan berhubung kes itu dan tempoh reman salah seorang daripada mereka dilanjutkan sehari, kata Hamid.
Seorang lagi telah dibebaskan.
“Kami percaya siasatan kes ini akan selesai tidak lama lagi. Dalam beberapa hri lagi,” katanya.
Dua lelaki yang ditahan di Kuala Selangor itu bekerja di atas pontun yang berkaitan sebuah syarikat perlombongan.
Syarikat berkenaan, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor, pada 22 Julai berkata, pihaknya mengesan tumpahan minyak diesel sebagai punca pencemaran.
Ia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tumpahan minyak itu berlaku di kawasan perlombongan syarikatnya, namun menyatakan “kekesalan” mereka berhubung insiden itu.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) turut membuat laporan polis berhubung tumpaahan minyak diesel dan insiden pencemaran sebelum ini yang turut menyebabkan penutupan loji rawatan.
Timbul desas-desus yang mengatakan wujud unsur sabotaj dalam gangguan bekalan air, dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menerusi Twitter berkata, pihak polis memaklumkannya terdapat unsur sabotaj dalam kes berkenaan. – 29 Julai, 2019.
Komen