SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mendakwa beliau diancam oleh individu sama yang mengugut keluarganya agar beliau melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda Bersatu dan politik kebangsaan.
Beliau berkata ugutan itu disertai dengan beberapa foto sensitif menerusi aplikasi telefon pintar sekitar jam 1.30 pagi awal hari ini.
“Sebelum ini ia ditujukan kepada keluarga saya (adik dan ayah). Tetapi yang baru ini kepada saya.
“Bukan (melalui) e-mel, daripada aplikasi tertentu, tetapi saya tidak boleh menyatakannya sekarang. Ia peras ugut,” kata Syed Saddiq pada sidang akhbar di ibu pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
Beliau berkata akan membuat dua lagi laporan polis malam ini mengenai perkara itu.
Syed Saddiq sebelum ini membuat laporan polis terhadap ancaman yang dibuat diri dan ahli keluarganya oleh pihak yang menawarkan RM5 juta kepadanya untuk meninggalkan Bersatu.
Katanya, polis menasihatinya supaya tidak mendedahkan butiran ugutan itu kerana ia isu serius dan beliau dijangka bertemu polis malam ini dalam dua sesi untuk merakamkan keterangannya.
“Saya tidak boleh dedahkan semuanya kerana ia personal. Tetapi ia bukan ugutan bunuh tetapi lebih kepada peribadi terhadap saya dan keluarga daripada mendedahkan perkara yang ada kaitan dengan orang dari belah sana,” katanya.
Beliau berkata ugutan itu dibuat oleh kumpulan sama kerana modus operandinya juga sama.
Syed Saddiq juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada gambar itu akan memusnahkan karier politiknya, berkata beliau perlu berdepan dengan polis dulu sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada Isnin, Syed Saddiq mengumumkan ada pihak cuba menyogoknya, mengumumkan pada sidang akhbar yang beliau ditawarkan RM5 juta untuk meninggalkan Bersatu.
Pada sidang akhbar yang diadakan di sebelah ibu pejabat Umno semalam, pemuda berusia 25 tahun itu dimaklumkan tawaran itu datang dari Pejabat Perdana Menteri.
Beliau menamakan seorang pegawai khas pada sidang akhbar itu semalam. The Malaysian Insight cuba mendapatkan pengesahan daripada individu terbabit dan menghantar beberapa soalan ke pejabatnya. Pegawai media berkenaan masih belum menjawab soalan itu.
Syed Saddiq berkata beliau mempunyai rakaman audio perbualan itu dan bukti lain yang tawaran berkenaan benar-benar berlaku. – 4 Oktober, 2017.
Komen