Libya kebumi 46 pendatang lemas kapal karam


Pekerja mengebumikan mayat pendatang, yang meninggal dunia dalam kejadian kapal karam di pantai Khoms, di sebuah perkuburan di pinggir bandar Libia di Tajoura pada 28 Julai. – Gambar AFP, 29 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa Libya mengebumikan mayat 46 pendatang pada Ahad yang lemas selepas kapal dinaiki mereka karam di Mediterranean.

Pekerja penyelamat berkata pada Jumaat, mereka menemui mayat 62 pendatang dari perairan di Libya selepas kapal terlebih muatan karam di luar bandar Khoms, timur ibu negara.

Pihak berkuasa berkata, baki 16 mayat akan dikebumikan kemudian.

Tujuh pendatang yang diselamatkan turut membantu majlis pengebumian sahabat mereka.

“Kami diselamatkan dan di sini, kami hari ini mengebumikan 46 saudara lelaki, kanak-kanak dan wanita kami,” kata Anwar, seorang mangsa yang masih terselamat kepada AFP.

Tidak diketahui betapa banyak ramai berada dalam bot selepas ia karam 90 minit selepas berlepas dari pantai Libya pada petang Rabu dalam usaha terdesak untuk sampai ke Eropah.

Mereka yang terselamat berkata kira-kira 400 orang menaiki kapal ketika ia tenggelam, menurut badan amal global Doctors Without Borders.

Ketua Badan Pelarian PBB Filippo Grandi menyifatkan kejadian itu sebagai “tragedi Mediteranian paling buruk tahun ini”.

Sebanyak 145 orang diselamatkan, menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, yang melaporkan lebih 110 hilang setelah kapal tenggelam.

Libya dilanda kekacauan sejak pemberontakan 2011 yang membunuh Presiden Moamer Kadhafi, sekian lama menjadi laluan transit utama bagi pendatang, terutama dari sub-Sahara Afrika, dengan harapan dapat sampai ke Eropah.

Pihak berkuasa pada Sabtu cuba membawa mayat ke perkuburan di pinggir bandar Tripoli di Tajoura, tetapi pertempuran di kawasan itu memaksa mereka berpatah balik.

Sehari kemudian, mereka berjaya sampai di sebidang tanah kecil yang dikelilingi batu dan pokok yang dikhaskan untuk mangsa yang terkorban dalam cubaan untuk sampai ke Eropah melalui laut.

Kebanyakan kubur hanya ditandai dengan nombor, bukannya nama.

Sebelum insiden ini, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dan IOM berkata 426 pendatang maut di Mediterranean tahun ini. – AFP, 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen