SEKURANG-KURANGNYA empat maut termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan ibunya apabila sebongkah batu jatuh di satu kawasan lombong emas di timur laut Guinea, kata polis dan pegawai tempatan.
Kemalangan itu berlaku pada petang Sabtu di Kintinian, di wilayah timur laut Siguiri, kata Mamadi Magassouba, tokoh masyarakat di Kintinian.
“Sekurang-kurangnya empat orang terkorban apabila sebongkah batu bergolek di lombong emas,” katanya kepada AFP.
Jumlah kematian disahkan oleh polis dan wakil Palang Merah setempat.
Dua yang lain cedera dibawa ke hospital di Siguiri, sebuah bandar sekitar 600 kilometer (370 batu) di utara Conakry, kata sumber yang sama.
Mangsa bekerja di lombong emas lama yang dilarang digunakan kerana risiko batu tergelincir disebabkan oleh hujan lebat, kata pegawai Palang Merah.
Sekurang-kurangnya 17 pelombong emas terbunuh pada Februari di lombong lain di wilayah Siguiri.
Gelinciran batu di tapak lombong emas di Guinea sering berlaku dan biasanya akan melibatkan nyawa. Wilayah Siguiri sahaja mempunyai lebih 20,000 pelombong emas, menurut sumber rasmi.
Walaupun Guinea kaya dengan mineral termasuk bauksit, berlian dan emas, kebanyakan penduduk hidup dalam kemiskinan dan bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup harian. – AFP, 29 Julai, 2019.
Komen