Penduduk tolak projek kondo, komersial di Sungai Penchala


SM Amin

Penduduk di Kampung Sungai Penchala bimbang projek komersial yang dibina di sana akan mengundang kesesakan teruk dan menghakis nilai budaya di penempatan tradisi itu. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.

PENDUDUK Kampung Sungai Penchala menolak rancangan membangunkan lapan projek di tanah rizab Melayu itu kerana bimbang ia membawa kesesakan dan kesan buruk ke kampung itu.

Pengerusi persatuan penduduk, Shohaimy Saad berkata pembinaan pelbagai kediaman setinggi hingga 38 tingkat hanya akan mengundang kesesakan teruk ke penempatan tradisi itu.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak sepatutnya meluluskan projek itu yang akan meningkatkan kepadatan penduduk menjadi berlipat kali ganda.

“Kepadatan kampung ini 60 orang seekar. Sekarang DBKL lulus sampai 996 orang seekar. Kami bukan bantah pembangunan tetapi mahu pelaksanaannya dibuat secara teratur,” katanya.

Kawasan kampung itu meliputi kawasan seluas 291 hektar dengan 527 lot berukuran antara satu hingga tiga ekar setiap satu.

Katanya, jalan di kawasan kampung itu semangnya sedia ada sempit dan pembangunan berkenaan hanya akan memburukkan lagi kesesakan.

“Kita tidak mahu pembangunan seperti ini, bina bangunan lapan tingkat, cukup,” katanya lagi

Antara projek yang diluluskan itu adalah Rencana Royale TTDI 15 tingkat dan Projek Angkasa Residence TTDI 38 tingkat.

Kedua-dua projek ini, masing-masing mengandungi 627 dan 735 unit dan dijangka siap pada tahun 2020.

Ia bakal menjadi tarikan pembeli hartanah memandangkan kawasan itu hampir dengan pembangunan mewah Taman Tun Dr Ismail, Bukit Kiara, Mutiara Damansara dan Damansara Perdana.

Mengulas lanjut, Shohaimy berkata, penduduk bimbang sekiraya projek perumahan dan komersial tersebut tidak akan menguntungkan warga tempatan jika dipenuhi orang bukan Melayu apabila siap.

“Bukan hendak rasis tetapi pembangunan yang ada ini tidak akan menguntungkan orang Melayu walaupun dibina atas tanah rizab Melayu.

“Bila semua projek ini siap, ia akan diduduki majoritinya orang bukan Melayu,” katanya.

Pengerusi persatuan penduduk, Shohaimy Saad berkata DBKL tidak sepatutnya meluluskan lapan projek bangunan di kawasan itu yang akan menyebabkan kepadatan penduduk menjadi berlipat kali ganda. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.

Beliau juga kecewa kerana pembangunan itu lebih diutamakan berbanding penyelenggaraan prasarana penduduk seperti masalah perparitan yang menyebabkan banjir kilat saban tahun.

Punca Sungai Penchala itu mengalir ke Sungai Damansara dan seterusnya ke Sungai Klang namun kawasan hulu sungai itu sering banjir.

Jelasnya, ia disebabkan disebabkan saliran perparitan dari kawasan perumahan di kawasan lebih tinggi.

“Punca banjir sebab parit yang kecil itu tidak boleh menampung aliran air dua sungai terutamanya ketika hujan. Parit itu pula lebih tinggi daripada sungai,” katanya.

Kes terbaharu berlaku pada Ahad lalu  melibatkan kira-kira 10 buah rumah dinaiki air setinggi paras pinggang selepas hujan lebat.

Menurut penduduk kampung, Abul Hasan Mohd Rashid, penyelesaian yang dijanjikan DBKL untuk menyelesaikan masalah itu dengan menggali parit lebih dalam masih tidak berlaku.

“Datuk bandar ada datang empat bulan lepas maklum akan korek parit itu dan dibesarkan menjadi sungai. Kita tengoklah. Sudah lima datuk bandar janji perkara yang sama,” katanya.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 14,000 penduduk di Kampung Sungai Penchala. Seramai 10,000 daripadanya merupakan warganegara selebihnya adalah warga asing.

Apabila kelak siap, dibimbangi projek berkenaan akan menarik lebih banyak maksiat ke kampung itu, kata seorang lagi penduduk kampung, Amsyar Mohamad.

Katanya, pada masa ini sebuah restoran di kampung tersebut sudahpun diberi kebenaran menjual arak sedangkan kawasan itu merupakan kampung tradisi Melayu.

“Orang kampung minta DBKL batalkan kerana ia berada dalam tanah rizab Melayu. Dengan masjid pun dekat, jadi tidak eloklah. Sini Melayu Islam 100%,” katanya.

Mengulas isu sama, seorang lagi penduduk Mohd Najib Karim berkata pembangunan tersebut akan menghakis budaya Melayu kampung berkenaan yang dibuka oleh peneroka asal.

Walaupun mengakui terdapat masalah sosial yang berlaku dikalangan generasi muda di kampung tersebut, bagi penduduk, ia tidak harus berlaku di dalam kampung itu sendiri.

“Masalah ini berlaku di mana-mana tetapi kita sebagai orang tua, kena jaga sebaik yang mungkin. Kita tidak mahu anak muda lihat orang minum arak di kampung mereka sendiri.

“Budaya, muafakat dan warisan Melayu kampung ini yang datang daripada peneroka asal, orang Minang, Jawa, Banjar akan hilang,” ujarnya.

Tentangan sama disuarakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mahu DBKL mengekalkan Kampung Sungai Penchala sebagai kampung tradisi bagi memelihara keunikan penempatan itu. – 29 Julai, 2019.

Projek Rencana TTDI setinggi 15 tingkat di Kampung Sungai Penchala yang sedang dalam pembinaan. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen