Majikan akur garis panduan baharu perumahan tetapi bimbang kos


Khoo Gek San

Kerajaan berhasrat menyediakan kebajikan dan perlindungan lebih baik kepada golongan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019

PUTRAJAYA yang berhasrat menyediakan kebajikan dan perlindungan lebih baik kepada golongan pekerja bakal menyaksikan penolakan daripada syarikat kerana faktor kos yang terlibat, kata beberapa majikan.

Beberapa majikan memberitahu The Malaysian Insight mereka lebih gemar menawarkan elaun lain untuk pekerja tetapi bukannya menyediakan penginapan seperti ditetapkan di bawah Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan (Pindaan) Bil 2019 Pekerja.

Pindaan ini menetapkan majikan dalam semua sektor harus menyediakan tempat tinggal kepada pekerja mereka. Bagaimanapun, perkara tersebut tidak diwajibkan.

Pada masa ini hanya industri perlombongan dan perladangan dimasukkan dalam senarai wajib menyediakan penginapan untuk pekerja, namun kerajaan berharap dasar baru ini dapat menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Malaysia.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang yang memuji dasar baharu itu bagaimanapun menjelaskan kos tambahan yang timbul boleh menyebabkan majikan mengelak untuk menyediakan penginapan kepada pekerja dan lebih memilih untuk memberi elaun kepada pekerja dari luar negeri.

“Pekerja yang menerima elaun perlu menyelesaikan masalah penginapan mereka sendiri.

“Secara amnya, beberapa kilang pembuatan akan menyediakan tempat tinggal kepada pekerja atau memberi elaun. Selepas undang-undang diluluskan, majikan akan mula tolak sewa daripada gaji pekerja, tetapi berapa banyak pemotongan yang dibenarkan kepada mereka?

“Adalah lebih mudah bagi majikan untuk mengelak daripada menyediakan penginapan dan hanya memberi elaun,” jelasnya.

Masalah lain diramalkan majikan adalah keadaan penginapan yang diberikan kepada buruh asing, kerana ia biasanya disediakan oleh kontraktor.

Presiden Master Builders’ Association Malaysia Foo Chek Lee berkata garis panduan baharu kerajaan itu akan membolehkan pekerja mendapat penginapan asas yang disediakan majikan.

“Kami menyokong dasar baru kerajaan. Secara amnya, kontraktor akan menyediakan tempat tinggal kepada pekerja asing berhampiran tapak pembinaan, dan katil untuk setiap orang adalah keperluan paling asas,” katanya.

Foo berkata sejak undang-undang yang dicadangkan membenarkan majikan memotong sewa daripada gaji pekerja mereka, kontraktor hanya boleh mengenakan bayaran nominal sebanyak RM50 seorang.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran menjelaskan mengapa kerajaan berusaha keras untuk sebuah perubahan dan berhasrat untuk melindungi para pekerja.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang Akta Hubungan Perindustrian 1967 sudah ketinggalan zaman setengah abad dan kerajaan mengiktiraf peranan kebajikan dalam meningkatkan produktiviti.

“Kali ini, kami mahu memperluaskan perlindungan dan kebajikan pekerja. Kami tidak memaksa majikan untuk menyediakan penginapan, tetapi mereka yang menyediakannya mesti memaatuhi garis panduan kerajaan.

“Kami tidak menjadikannya wajib disediakan, tetapi kerajaan bersedia membantu mereka yang menyediakan penginapan yang mematuhi garis panduan,” katanya lagi.

Kula Segaran berkata kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan majikan dan kesatuan pekerja dalam pelbagai bidang untuk membincangkan garis panduan penginapan.

“Kami mahu penginapan yang disediakan memenuhi keperluan asas. Selepas pindaan diluluskan di Parlimen, kami akan bertemu dengan majikan dan kesatuan.

“Majlis penasihat buruh bermesyuarat sekali sebulan, dan ini akan dibincangkan semasa mesyuarat tersebut,” katanya lagi.  – 29 Julai, 2019.

 Berita penuh di sini

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata Akta Hubungan Perindustrian 1967 sudah ketinggalan zaman setengah abad dan kerajaan mengiktiraf peranan kebajikan dalam meningkatkan produktiviti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen