Selepas tandatangan piagam, Umno-PAS intai kerjasama di empat negeri


SM Amin

PAS dan Umno dilihat akan mengembleng kekuatan bersama bagi mendapatkan sokongan orang Melayu walaupun sebelum ini bermusuhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2018.

UMNO dan PAS akan menjalinkan kerjasama di empat negeri yang ditadbir oleh kedua-dua parti itu kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun kata Zahid ia bergantung kepada hasil perbincangan terperinci mengenai perkara itu yang akan dibuat selepas Umno dan PAS menandatangani piagam kerjasama secara rasmi pada 14 September depan.

Malah kata Zahid, ia tidak akan terhenti di situ sebaliknya akan turut melibatkan kerjasama-kerjasama lain di pelbagai peringkat.

“Di semua peringkat, bukan sahaja di negeri-negeri tertentu. Kita akan laksanakan setelah perbincangan terperinci dilakukan,” katanya ringkas kepada The Malaysian Insight.

Keputusan PRU14 menyaksikan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia tewas apabila hanya mendapat 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, Umno yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional berjaya mempertahankan dua negeri iaitu Pahang dan Perlis.

Berbanding Umno, PAS bukan sahaja berjaya mempertahankan Kelantan, malah turut merampas Terengganu yang diterajui oleh Umno sebelum ini.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan bahawa Umno berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir Barisan Nasional dan PAS.

Menurutnya, hasrat itu telah dibincangkan dengan PAS pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti pada Mac lalu dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyokong Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal, Zahid berkata “Umno tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu”. 

“Itu pendirian PAS dan kita hormat,” katanya.

Penasihat Barisan Nasional, Najib Razak ketika ditanya soalan sama berkata Umno tidak harus campur masalah Pakatan Harapan.

“Kita (Umno) tidak perlu komen kerana itu masalah kerajaan PH,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen