Cyprus bebas suspek, tangkap pendakwa berhubung kes rogol


Wanita berusia 19 tahun itu mendakwa bahawa 12 orang warga Israel telah merogolnya di hotel tempat dia bermalam, iaitu di resort Ayia Napa yang popular pada 17 Julai. – Gambar AFP, 28 Julai, 2019.

POLIS Cyprus hari ini membebas tujuh orang Israel dari tahanan dan berkata remaja Britain yang menuduh mereka merogol secara berkumpulan akan menghadapi perdakwaan di mahkamah kerana disyaki membuat tuduhan palsu.

“Semua tujuh orang warga Israel tersebut telah dibebaskan, pukul 10 pagi tadi,” kata jurucakap polis Christos Andreou kepada pemberita.

“Remaja itu akan dibawa ke mahkamah esok pagi (Isnin),” katanya.

Terdahulu, sumber polis mengatakan remaja Britain tersebut telah ditahan.

“Dia menghadapi tuduhan memberi kenyataan palsu berkenaan penipuan jenayah,” kata sumber itu.

Pada awalnya, wanita berusia 19 tahun itu mendakwa bahawa 12 orang warga Israel telah merogolnya di hotel tempat dia bermalam, iaitu di resort Ayia Napa yang popular pada 17 Julai.

Para pelancong Israel itu kemudian direman dalam tahanan pada hari berikutnya. Namun beberapa jam sebelum penampilan kedua mereka di mahkamah, lima daripada mereka dibebaskan dan dihantar pulang pada hari Khamis.

Baki tujuh lelaki yang lain kemudiannya diperintah reman untuk enam hari lagi pada hari Jumaat. Namun tidak ada pertuduhan dijatuhkan, dan kedua-dua pendengaran kes berlaku secara tertutup kerana sesetengah suspek merupakan kanak-kanak bawah umur.

Peguam Israel yang berpangkalan di Cyprus, Yaniv Habari, mewakili salah seorang suspek yang masih dalam tahanan mengatakan, “Pengadu itu nampaknya mengubah-ubah versi dakwaannya, dan berdasarkan maklumat itu penyiasat memutuskan untuk melepaskan ketujuh-tujuh mereka.”

Ayia Napa adalah magnet bagi pelancong muda yang tertarik dengan reputasi parti dan pantainya yang berpasir putih. – AFP, 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen