SAMBUTAN akar umbi Umno terhadap kerjasama dengan PAS amat baik walaupun piagam kerjasama masih belum ditandantangani secara rasmi, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, kerjasama yang didukung oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) itu juga diperhatikannya semakin baik selepas kembali menjalankan tugas presiden parti.
Oleh itu beliau yakin PAS dan Umno akan menjadi alternatif kepada rakyat yang kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, katanya.
“Hasrat penyatuan ummah Umno dan PAS yang turut didukung oleh parti-parti komponen lain tentunya merupakan satu alternatif baharu terhadap rasa kekecewaan rakyat dengan apa yang sedang berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau seterusnya menuding jari kepada DAP yang menurutnya menjalank agenda meminggirkan orang Melayu dan menyebabkan kelompok itu meluat kepada kerajaan.
“Mereka harus, sedar rakyat tidak mahu mereka lagi. Orang Melayu Islam lebih meluat dengan agenda halus DAP untuk meminggirkan orang Melayu Islam,” katanya.
Presiden Umno dan Presiden PAS akan menandatangani piagam kerjasama tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 14 September depan.
Beliau mengaitkan piagam itu dengan sikap PAS yang menurutnya kini masing sangsi dengan keikhlasan kerjasama Umno dan BN.
“Kita tahu PAS juga hati-hati sama ada Umno dan Barisan Nasional betul-betul ikhlas atau tidak.
“Saya tidak salahkan mereka kerana pada tahun 1978 mereka telah keluar daripada Barisan Nasional sebab ada jiwa-jiwa jahat dalam BN, empat tahun selepas menyertai gabungan itu,” katanya.
Katanya kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam terbesar itu akan membolehkan mereka berjaya merampas negeri Perak termasuk dua parlimen iaitu Parit Buntar dan Bagan Serai.
Zaid bercakap dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Parit Buntar di Nibong Tebal, hari ini. – 28 Julai, 2019.
Kerjasama dengan PAS makin baik, kata Zahid
Komen