Penduduk Kashmir bimbang India kerah 10,000 askar


Polis Kashmir berkata kerahan tentera itu bagi menggantikan askar yang sudah berada di situ sejak pilihan raya pada tahun lalu dan kini ditugaskan untuk memantau ritual tahunan penganut Hindu. – Gambar EPA, 28 Julai, 2019.

KETEGANGAN di wilayah bergolak Kashmir kembali meningkat hari ini susulan kerahan kira-kira 10,000 askar India ke kawasan itu walaupun pihak berkuasa tempatan menyifatkan ia sebagai perkara rutin.

India mengekalkan kerahan 500,000 tentera di wilayah majoriti Islam itu yang menjadi rebutan antara New Delhi dan Pakistan.

Wilayah itu menyaksikan pemberontakan sejak beberapa tahun lalu ekoran kebimbangan penduduk tempatan terhadap hak istimewa mereka selepas Mahkamah Agung India pada tahun lalu memulakan satu kes untuk mencabar Perlembagaan di Kashmir.

Polis Kashmir berkata kerahan tentera itu bagi menggantikan askar yang sudah berada di situ sejak pilihan raya pada tahun lalu dan kini ditugaskan untuk memantau ritual tahunan penganut Hindu.

“Askar sudah berada di sini selama tujuh bulan. Ada yang perlu bercuti dan ada yang berlatih di luar,” kata Pengarah Polis Dilbagh Singh.

Sumber keselamatan memberitahu, kerahan itu dipercayai ada kaitan untuk mengawal tunjuk perasaan terhadap keputusan mahkamah atau ritual agama tersebut.

Kata sumber itu, tahap keselamatan yang berlaku pada hari ini di Kashmir tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penduduk tempatan memberitahu, mereka bimbang jika Perdana Menteri Narendra Modi mahu meminda Perlembagaan Kashmir bagi membolehkan penduduk India dari luar membeli tanah di wilayah itu. – AFP,  28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen