IRAN menyelar cadangan “provokatif” British berhubung misi tentera laut yang diketuai Eropah bagi mengiringi kapal tangki di kawasan Teluk.
Kenyataan Iran itu tampil di tengah-tengah ketegangan susulan penyitaan kapal dari Eropah.
“Kami mendengar bahawa mereka berhasrat menghantar pasukan Eropah ke Teluk Parsi yang membawa mesej permusuhan. Ia adalah provokatif dan akan meningkatkan ketegangan,” kata jurucakap kerajaan, Ali Rabiei, yang dipetik oleh agensi berita ISNA.
Britain berkata pada hari Isnin ia merancang untuk membentuk pasukan yang diketuai oleh Eropah bagi mengiringi kapal tangki melalui laluan perkapalan minyak tersibuk di dunia sebagai tindak balas terhadap rampasan kapal Inggeris pada 19 Julai lalu.
Penyitaan kapal Stena Impero itu dilakukan dua minggu selepas pihak berkuasa Britain menahan kapal tangki Iran - Grace 1 dari wilayah Gibraltar di atas tuduhan melanggar undang-undang sekatan Kesatuan Eropah terhadap Syria.
Dalam ulasannya pada hari Ahad, jurucakap kerajaan itu berkata Iran percaya keselamatan Teluk yang kaya dengan sumber minyak harus dikekalkan oleh negara-negara di rantau ini.
“Kami adalah agen keselamatan maritim terbesar di Teluk Parsi,” kata Rabiei.
Britain pada hari Khamis mengarahkan angkatan lautnya untuk mengiringi kapal Britain di Selat Hormuz, di mana Stena Impero kemudian dirampas oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Namun, setakat ini hanya menerima respons dingin dari benua itu untuk cadangannya bagi mewujudkan sebuah kapal pengiring yang diwakili pelbagai negara selain Amerika Syarikat.
Perancis berkata pada hari Khamis ia tidak mahu menghantar pasukan ketenteraan tambahan ke kawasan Teluk, tetapi akan berkongsi maklumat dan menyelaraskan asetnya di lapangan.
Tentera AS mengatakan ia sudah memantau selat itu, dan sedang membangunkan “usaha maritim multinasional” yang digelar Operation Sentinel bagi meningkatkan pengawasan dan keselamatan di laluan utama Timur Tengah. – AFP, 28 Julai, 2019.
Komen