LIMA doktor terbunuh dalam serangan udara pasukan Libya yang diketuai Khalifa Haftar di sebuah hospital lapangan berhampiran ibukota, kata kementerian kesihatan kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Kebangsaan Libya melancarkan serangan pada bulan April untuk merampas Tripoli daripada kuasa Kerajaan Kebangsaan (GNA) yang berpusat di ibu negara itu.
Angkatan Pro-GNA telah bertahan daripada serangan awal dan sejak itu pertempuran terus berlaku di pinggir kota, dengan kedua-dua belah pihak beralih melancarakan serangan udara.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Libya Lamine al-Hashemi, berkata, hospital lapangan yang terletak di jalan lapangan terbang (selatan Tripoli) dilanda serangan udara. Lima doktor terbunuh dan tujuh orang lain, termasuk penyelamat disahkan cedera.
Serangan berlaku pada hari Sabtu menggunakan “sebuah kapal perang Haftar”, katanya.
“Ia adalah serangan yang menyasarkan hospital yang dipenuhi pasukan perubatan,” tambah Hashemi.
Tiada pengesahan atau penafian daripada pasukan Haftar.
Serangan itu adalah yang ketiga menyasarkan hospital di selatan ibu kota Tripoli. – AFP, 28 Julai, 2019.
Komen