POLIS Rusia menangkap hampir 1,400 orang ketika mereka berkumpul di Moscow pada hujung minggu bagi menuntut pilihan raya terbuka, kata badan pemantau.
Badan pemantau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk kekerasan terbesar yang pernah berlaku di negara tersebut.
Menurut beberapa pimpinan rasmi himpunan yang tidak mendapat keizinan pihak berkuasa itu, kira-kira 3,500 orang mengambil bahagian selepas pihak berkuasa menyekat calon pembangkang daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya bandaran.
Pertemuan itu diadakan seminggu selepas 22,000 orang memenuhi jalan raya mendesak pihak berkuasa untuk membatalkan keputusan mereka menjelang hari pengundian.
Polis menggunakan baton bagi menyuraikan penunjuk perasaan ketika mereka cuba untuk berkumpul di kawasan luar balairaya bandaran pada hari Sabtu, beberapa orang tercedera turut dilihat di tempat kejadian.
Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan mengecam “penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dalam himpunan aman”, dan menyifatkan kekerasan itu memandang rendah “kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun”.
Amnesty International juga turut mengecam apa yang disifatkan sebagai penggunaan kekerasan oleh pihak polis.
Selepas himpunan minggu lalu, penyiasat menyerbu rumah dan ibu pejabat sejumlah calon yang hilang kelayakan. Susulan itu, pengkritik utama pentadbiran Kremlin, Alexei Navalny dipenjara selama 30 hari kerana menyeru untuk berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan.
Beberapa bakal calon telah ditahan sebelum dan semasa himpunan pada hari Sabtu. Antaranya ialah Ilya Yashin, yang menyeru himpunan lain hujung minggu depan.
OVD-Info, sebuah organisasi yang memantau himpunan protes, melaporkan pada hari Ahad bahawa 1,373 orang telah ditahan di ibu negara itu.
Ia mengatakan ini adalah jumlah tertinggi sejak demonstrasi besar-besaran pada tahun 2012, ketika puluhan ribu membantah Presiden Vladimir Putin yang kembali semula ke Kremlin selepas empat tahun menduduki jawatan perdana menteri. – AFP, 28 Julai, 2019.
Komen