NEGARA-negara kuasa besar akan mengadakan pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian menyelamatkan perjanjian nuklear Iran selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri dari perjanjian itu.
Usaha itu dilakukan ketika ketegangan antara Teheran dan Washington semakin memuncak.
Wakil Britain, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Iran akan bertemu di Vienna bagi membincangkan perkara itu selepas mereka gagal mencapai sebarang penyelesaian dalam pertemuan pada bulan lalu.
Ketegangan antara Teheran dan Washington memuncak sejak tahun lalu apabila Presiden AS Donald Trump umum tarik diri daripada perjanjian yang bertujuan mengekang program nuklear Iran.
Malah AS turut mengenakan sekatan baharu terhadap Teheran.
Iran kemudiannya membalas untuk tidak mematuhi perjanjian berkenaan dan mengugut akan bertindak lebih jauh jika pihak yang terlibat dalam perjanjian itu terutamanya negara Eropah, tidak membantunya dalam isu sekatan AS.
Ketegangan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu antara AS dan Iran susulan insiden melibatkan dron dan kapal tangki.
AS mendakwa pihaknya menembak sebuah dron Iran pada minggu lalu dan menyalahkan Teheran terhadap beberapa serangan misteri ke atas kapal tangki di Teluk.
Iran juga menembak jatuh dron milik AS pada Jun selepas Trump umum membatalkan serangan udara pada minit akhir kerana bimbang jumlah kematian yang tinggi. – AFP, 27 Julai, 2019.
Komen