Tiada masalah guru sertai Umno, kata Ali Hamsa


Yasmin Ramlan

Setiausaha Negara Ali Hamsa tidak melihat sebarang masalah sekiranya guru ingin melibatkan diri dengan politik walaupun menteri pendidikan pernah menasihatkan guru yang menyokong pembangkang meninggalkan profesion mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

TIDAK menjadi masalah bagi guru sekolah ingin menyertai parti Umno, kata Setiausaha Negara Ali Hamsa.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mempelawa guru-guru menyertai parti Melayu itu dalam satu program penyampaian hadiah di sebuah sekolah rendah di Presint 14 Putrajaya.

“Saya tak ada masalah dalam hal itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tahunan Kesihatan “Sayangi Jantung Anda, Kekuatan Dikongsi Bersama” di Puspanitapuri, di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai guru sekolah yang tidak dibenarkan berpolitik.

Pada Mac lalu, Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid menasihatkan guru yang menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan secara keterlaluan agar meninggalkan profesion mereka.

Setiausaha agung Umno yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Nan semalam dalam video KiniTv mengalu-alukan guru menjadi ketua bahagian, ketua cawangan atau bertanding bagi jawatan ketua Pemuda sambil memberi amaran mereka berdepan risiko disingkirkan daripada perkhidmatan jika pembangkang mengambilalih kerajaan.

“Ingatlah, saya dan anda dalam kapal yang sama. Puak-puak yang lain, bukan kerajaan, cakap nak buang setengah daripada penjawat awam,” kata Ku Nan sebagaimana dilaporkan portal Malaysiakini.

Menerusi pertandingan menghias bilik darjah dan upacara penyampaian hadiah itu, Kementerian Wilayah Persekutuan mensyaratkan tema “Umno dan Kemerdekaan” digunakan.

Selaras dengan tema itu, sekolah berkenaan dihiasi dengan bendera kebangsaan dan Umno. Malah selepas Ku Nan berucap, laungan “Hidup Umno” oleh kira-kira 500 murid-murid dan guru-guru turut bergema.

Acara itu turut mendapat teguran daripada Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page).

“Amat dikesali murid-murid sekolah yang tidak bersalah dijadikan cagaran dalam permainan politik yang dilakukan orang dewasa.

“Ia selanjutnya mengesahkan kesemua ikhtiar yang dibuat kementerian pendidikan untuk membuatkan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa sedang terhakis dengan pantas.

“Sekolah-sekolah sebegini sekarang akan ditanggapi sebagai sarang politik,” kata persatuan itu dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Bagaimanapun, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (MHSKL) mempertahankan program itu dengan mengatakan bendera Umno yang dikibarkan oleh pelajar tidak harus dipetik di luar konteks.

Menurut pengerusinya, Mohd Emil Azril Bahari, kibaran bendera Umno dilakukan sebagai satu adegan babak terakhir di mana Tunku Abdul Rahman dan rombongan merdeka memohon dana daripada orang ramai untuk perjalanan mereka ke London.

“Kami percaya adegan tersebut apabila dilihat ke dalam konteks yang betul memberi maksud positif untuk mengembalikan saat bersejarah itu walaupun ia mungkin atau tidak tepat dari perspektif sejarah,” kata beliau dalam kenyataan rasminya sebagaimana disiarkan Malaysiakini. – 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen