Pengisi suara Minnie Mouse meninggal dunia


Selama lebih 30 tahun, Russi Taylor menjadi suara rasmi bagi watak kartun Minnie Mouse. Beliau meninggal dunia dalam usia 75 tahun pada Jumaat lalu. – Gambar AFP, 28 Julai, 2019.

RUSSI Taylor, suara rasmi watak Minnie Mouse selama lebih tiga dekad meninggal dunia dalam usia 75 tahun, umum Disney pada Sabtu.

Taylor, yang ketawa seperti watak Minnie Mouse menawan hati dan peminat di seluruh dunia.

“Minnie Mouse kehilangan suaranya dengan pemergian Russi Taylor,” kata Bob Iger, pengerusi dan ketua eksekutif The Walt Disney Company, dalam satu kenyataan.

“Selama lebih 30 tahun, Minnie dan Russi bekerjasama untuk menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia - perkongsian yang menjadikan Minnie sebagai ikon global dan Russi sebagai lagenda Disney yang disayangi peminat di mana sahaja.

“Kami dengan senang hati mengatakan hasil kerja beliau akan terus menghiburkan dan memberi inspirasi untuk generasi akan datang,” kata Iger.

Taylor meninggal dunia di Glendale, California pada Jumaat, kata Disney. Syarikat itu tidak memberikan sebab bagi kematian beliau.

Taylor menjadi pilihan Disney daripada 200 calon yang datang dalam ujibakat pada 1986.

Berasal dari Massachusetts, beliau sebenarnya bertemu Walt Disney semasa masih gadis semasa lawatan ke Disneyland.

“Pada satu ketika semasa kami berbual, beliau bertanya apa saya mahu lakukan ketika dewasa, dan saya berkata, ‘Saya mahu bekerja untuk anda!’ Jadi dia berkata, ‘Baiklah!’ - dan sekarang saya melakukannya!” katanya dipetik berkata dalam profil yang dikeluarkan oleh Disney.

Selain watak Minnie Mouse dan watak Disney yang lain, Taylor juga merupakan suara bagi watak kartun Strawberry Shortcake dan Flintstone Pebbles. Beliau bekerja di televisyen selama beberapa dekad, termasuk “Mary Tyler Moore Show” dan “The Simpsons.” – AFP, 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen