SOKONGAN yang semakin bertambah serta kerjasama dengan PAS meningkatkan keyakinan Umno untuk kembali berkuasa di Perak jika pilihan raya negeri diadakan dalam masa terdekat, kata Dr Zambry Abdul Kadir.
Bekas menteri besar Perak itu berkata, wujud banyak masalah dengan kerajaan negeri sekarang disebabkan kemelut antara parti komponen Pakatan Harapan.
“Jika ada krisis yang menyebabkan pilihan raya negeri diadakan sekarang, BN dan PAS akan menawan kembali negeri (Perak).
“Kita akan mengelak pertandingan tiga penjuru yang tidak bermanfaat yang menyebabkan kita hilang kerusi pada pilihan raya lepas.
“Saya yakin kita boleh menang bila dua parti dominan Melayu bekerjasama,” kata Adun Pangkor itu kepada The Malaysian Insight.
Perak kini ditadbir PH, tetapi kedudukannya getir kerana hanya menguasai 30 daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerusi PH disumbang DAP (18), PKR (6), Amanah (4) dan Bersatu (2), manakala BN mempunyai 25 kerusi dan PAS ada tiga kerusi.
Satu lagi kerusi dipegang wakil rakyat Bebas, Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah), yang menggunakan tiket Umno untuk bertanding pada pilihan raya lalu.

Perak terjebak krisis apabila dua exco kerajaan negeri berdepan tuduhan korupsi dan serangan seksual, menimbulkan kemungkinan negeri itu terpaksa mengadakan pilihan raya sekiranya kedua-dua exco itu diheret ke mahkamah.
Exco Abdul Yunus Jamhari sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membocorkan minit mesyuarat exco, manakala Exco Paul Yong pula sedang disiasat atas tuduhan melakukan serangan seksual kepada orang gajinya.
Abdul Yunus dan Yong menafikan tuduhan itu, tetapi khabar angin kegoyahan kerajaan PH di Perak semakin kencang.
Keyakinan Umno untuk kembali berkuasa di Perak jelas tergambar apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menamakan calon menteri besar ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Tambun awal bulan ini.
Ketua Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad dinamakan sebagai calon menteri besar jika pakatan Barisan Nasional-PAS berjaya menawan kembali negeri itu.
Zahid berkata Saarani membuktikan kepimpinannya menyatukan semua bahagian Umno di Perak.
“Kalau Tuanku berkenan, inilah (Saarani) menteri besar kita. Kaedah dan cara beliau memimpin Umno negeri Perak saya hormat kerana beliau dapat menyatukan seluruh bahagian-bahagian,” katanya.
Umno dan PAS akan menandatangani piagam kerjasama pada 14 September ini bagi pembentukan pakatan pembangkang Melayu Islam untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15. Kerjasama itu diumumkan secara rasmi pada Khamis lalu.
Piagam itu akan ditandatangani Zahid selaku presiden Umno, manakala PAS akan diwakili Presiden Abdul Hadi Awang.
Majlis dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kubu perhimpunan agung Umno. – 28 Julai, 2019.
Komen