Umno akan kembali berkuasa seperti LDP di Jepun, kata ketua penerangan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah berkata perjalanan Parti Demokratik Liberal di Jepun perlu dijadikan inspirasi untuk mengalahkan Pakatan Harapan pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2019.

UMNO akan kembali berkuasa sebagaimana Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun selepas berkuasa selama 50 tahun, menurut Shamsul Anuar Nasarah.

Ketua penerangan Umno berkata Parti Demokratik Jepun (DPJ), yang menewaskan LDP, mempunyai persamaan dengan Pakatan Harapan (PH).

“DJP membuat banyak janji termasuk memperkukuhkan ekonomi Jepun, melakukan reformasi pencen dan skim perubatan, mengurangkan kos penjagaan anak, pendidikan percuma dan banyak lagi.”

“Tetapi selepas tiga tahun berkuasa, pentadbiran mereka terlibat dalam beberapa isu termasuk perdana menteri pertama mereka, Yukio Hatoyama yang terpaksa meletak jawatan kerana skandal rasuah,” katanya kepada delegasi ketika pembukaan mesyuarat Umno Bahagian Damansara.

Sama seperti PH, katanya DPJ hanya memenuhi 30% janji mereka kepada rakyat dan membuat beberapa pusingan U.

Parti itu juga melaksanakan strategi yang sebelum ini dikritik ketika ia dilakukan soleh pemerintah LDP, misalnya pembinaan Empangan Yanba.

Kesilapan DPJ membolehkan LDP memperkukuhkan partinya dan kembali ke memegang tampuk kuasa.

LDP kemudian bergabung dengan parti konservatif Buddha, Parti Komeito Baru, yang membolehkan mereka memenangi pilihan raya 2012.

LDP muncul lebih kuat berbanding sebelumnya.

Shamsul berkata, ini harus menjadi inspirasi kepada Umno untuk kembali berkuasa.

Umno dalam usaha memperoleh semula kuasa juga dikaitkan dengan PAS yang satu masa dahulu menentang dan bakal membentuk kerjasama ad hoc.

Umno dan PAS akan menandatangani piagam pada 14 September yang akan membawa kepada pembentukan pakatan pembangkang nasionalis Melayu-Islam baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, kedua-dua parti itu mengumumkannya dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.

Piagam itu akan ditandatangani oleh presiden masing-masing - Ahmad Zahid Hamidi untuk Umno dan Abdul Hadi Awang untuk PAS - di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, di mana Umno mengadakan perhimpunan agung tahunannya. – 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen