Lebih 800 penumpang kereta api terperangkap dalam banjir


Expres Mahalxmi meninggalkan Mumbai pada lewat malam Jumaat menuju ke Kolhapur tetapi selepas berjalan kira-kira 60km, ia terperangkap selepas air sungai melimpah keluar ke landasan keretapi. – Gambar AFP, 28 Julai, 2019.

HELIKOPTER dan bot tentera laut India menyelamatkan lebih 800 orang yang terperangkap di dalam kereta api kerana banjir berhampiran Mumbai semalam.

Expres Mahalxmi meninggalkan Mumbai pada lewat malam Jumaat menuju ke Kolhapur tetapi selepas berjalan kira-kira 60km, ia terperangkap selepas air sungai melimpah keluar ke landasan keretapi.

Kereta api itu terperangkap selama 12 jam di daerah Thane sebelum pihak berkuasa memanggil tentera laut India dan Pasukan Tindak Balas Bencana Negara (NDRF) yang mengerahkan helikopter, bot dan penyelam untuk misi menyelamat.

Indian Railways berkata kereta api berjaya dikosongkan dalam tempoh lima jam selepas misi bermula. Sembilan wanita hamil antara yang diselamatkan.

Gambar menunjukkan bot memindahkan penumpang kereta api yang memakai jaket keselamatan dari gerabak yang terperangkap dalam air berlumpur menenggelamkan kawasan sekitar.

Ambulan dan sekurang-kurangnya 37 orang doktor dikerahkan untuk merawat penumpang, mereka juga diberikan makanan dan minuman, kata Indian Railways.

Jurucakap syarikat negara itu berkata yang “kereta api ganti khas” akan membawa penumpang ke destinasi mereka.

Musim tengkujuh membawa hujan lebat melanda Mumbai menyebabkan pembatalan 11 penerbangan di lapangan terbang bandar itu semalam. Sembilan pesawat yang mahu mendarat juga dipindahkan ke lapangan terbang lain.

Sekurang-kurangnya 20 sentimeter air hujan turun di Mumbai dalam tempoh 24 jam.

Sejak dua minggu lepas, lebih 250 orang maut dalam banjir yang melanda seluruh India, negeri Assam dan Bihar antara yang terjejas teruk. Tentera berkata mereka juga melancarkan misi menyelamat lebih 150 orang terperangkap dalam rumah di Assam kerana banjir. – AFP, 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen