JUMLAH korban tanah runtuh yang menenggelamkan sebuah perkampungan di China naik kepada 29 orang, menurut laporan media negara itu, manakala 22 masih hilang.
Agensi berita Xinhua malam semalam melaporkan yang 40 mangsa lagi berjaya diselamatkan dari tanah runtuh yang berlaku di mukim Shuicheng, daerah Guizhou itu, menurut pusat arahan kecemasan bencana.
Arus deras berlumpur menenggelamkan 22 rumah dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Selasa, rakaman stesen TV tempatan CCTV menunjukkan pekerja keselamatan berusaha menyelamatkan mangsa yang ditimbus tanah.
Dua orang kanak-kanak serta seorang ibu bersama bayi kecilnya antara yang terbunuh.
Xinhua melaporkan yang sebuah sekolah diubah menjadi pusat menyelamat dan perubatan kecemasan, dan “pelbagai kumpulan penyelamat dan pakar” masih mencari mereka yang hilang.
Kerajaan memperuntukkan 30 juta yuan (AS$4.35 juta) untuk misi mencari dan menyelamat itu, lapor Xinhua, serta proses pemindahan mangsa yang selamat.
Tanah runtuh sering berlaku di kawasan pendalaman China, terutama sekali hujan lebat, ia bertambah buruk kerana negara itu beberapa kali dilanda banjir besar tahun ini.
Pada Ogos 2017, sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam dua kejadian tanah runtuh yang berlaku di Guizhou. – AFP, 28 Julai, 2019.
Komen