Polis tahan 1,000 hadir himpunan pro-demokrasi di Moscow


Polis menahan seorang lelaki yang terlibat dalam tunjuk perasaan di depan Pejabat Datuk Bandar Moscow. Kira-kira 3,500 orang menyertai protes bagi menggesa pilihan raya tempatan lebih adil dan telus. – Gambar EPA, 28 Julai, 2019.

POLIS Moscow berkata mereka menahan lebih 1,000 orang semalam di himpunan protes yang diharamkan bagi menggesa pihak berkuasa bandar menolak keputusan kerana tidak memasukkan calon utama pembangkang dalam kertas undi.

Bantahan itu adalah gelombang demonstrasi terkini yang menggesa pilihan raya tempatan adil di ibu negara.

Kira-kira 3,500 orang menyertai protes jalanan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, menurut angka rasmi.

Beberapa tangkapan dilakukan secara ganas dan polis menggunakan baton terhadap penunjuk perasaan, sebagaimana disaksikan wartawan AFP di tempat kejadian.

Secara keseluruhan, seramai 1,074 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan semasa demonstrasi yang tidak dibenarkan di pusat ibu negara, kata polis Moscow seperti dipetik oleh agensi berita Rusia.

Perhimpunan itu diadakan seminggu selepas protes terbesar di ibu negara pada tahun ini, apabila kira-kira 22,000 orang berarak menggesa pembatalan keputusan dan membenarkan aktivis pembangkang bertanding untuk majlis dewan bandaraya pada September.

Sejak itu, penyiasat menyerbu rumah dan ibu pejabat beberapa calon yang tidak layak, sementara pengkritik Kremlin, Alexei Navalny dipenjarakan selama 30 hari kerana menyeru protes baru.

“Jujurnya, saya takut,” kata pekerja IT berusia 42 tahun Alexei Sprizhitsky kepada AFP pada demonstrasi semalam.

Beliau berkata kali terakhir melihat tahap tekanan terhadap aktivis seperti itu pada 2012, ketika Presiden Vladimir Putin kembali ke Kremlin selepas empat tahun sebagai perdana menteri mencetuskan rasa tidak puas hati.

Beberapa pemimpin pembangkang dan bakal calon ditangkap dalam beberapa jam menjelang protes, yang berlaku ketika taraf hidup dan sokongan terhadap Putin semakin merudum.

Pilihan raya tempatan adalah satu peluang yang jarang berlaku untuk menyuarakan suara untuk mengambil bahagian dalam kehidupan politik kerana parti anti-Kremlin dipecat dari Parlimen sepanjang dua dekad Putin berkuasa.

Kumpulan penunjuk perasaan cuba menutup beberapa jalan di tengah Moscow pada sebelah petang, namun sejumlah besar polis segera dikerahkan ke kawasan itu dan menghuraikan mereka, kata wartawan AFP. – AFP, 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen