BEBERAPA lelaki bersenjata Boko Haram pada Sabtu membunuh 23 orang awam di negeri Borno di timur laut Nigeria yang sedang bergolak selepas mereka menghadiri satu majlis pengebumian, kata pihak militia dan penduduk tempatan.
Pada kira-kira jam 1030 GMT, penyerang menaiki tiga motosikal melepaskan tembakan kepada sekumpulan lelaki yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri upacara pengebumian di daerah Nganzai berhampiran ibukota negeri Maiduguri, kata ketua militia tempatan, Bunu Bukar Mustapha.
“Kami menemui 23 mayat dari tempat kejadian, yang berlaku pagi ini,” Mustapha memberitahu AFP.
Semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Badu Kuluwu dari kampung Goni Abachari berhampiran tempat mereka menghadiri solat pengebumian untuk seorang saudara, kata Mustapha.
Seorang pegawai daerah Nganzai mengesahkan kejadian dan jumlah kematian.
“Saya menerima panggilan dari Nganzai yang Boko Haram membunuh 23 orang di sekitar Badu Kuluwu pagi ini,” kata pegawai itu, yang meminta tidak dinamakan demi keselamatannya sendiri.
Penduduk tempatan dan militia menemui mayat selepas mangsa yang terselamat kembali ke kampung dan memaklumkan mengenai perkara itu, kata penduduk Nganzai, Saleh Masida.
Pengganas Boko Haram sering kali menyerang daerah Nganzai.
Pada September tahun lepas, kumpulan itu membunuh lapan orang dan mencuri haiwan ternakan di dua kampung di kawasan itu selepas penduduk cuba menghalangnya.
Boko Haram dan serpihan penyokong Islamic State ISWAP meningkatkan serangan kepada orang awam dan tentera beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada petang Khamis, pengganas Boko Haram menyerang sebuah kem bagi mereka yang tiada tempat tinggal di luar Maiduguri, membunuh dua penduduk dan merampas bekalan makanan selepas membakar pangkalan tentera berdekatan.
Konflik pelampau selama sedekad itu merebak ke negara jiran Chad, Niger dan Cameroon, yang mengorbankan kira-kira 27,000 nyawa dan memaksa lebih 2 juta orang melarikan diri dari kediaman mereka. – AFP, 28 Julai, 2019.
Komen