KISAH puluhan pelukis terpaksa meninggalkan Pasar Seni Kuala Lumpur dan kembali menjadi seniman marhaen di Bukit Bintang satu petanda: seni jalanan akhirnya kembali ke jalanan juga.
Selepas dua dekad berjuang sejak Pasar Seni dibuka pada 1986, pada awal dekad 2000, hampir separuh pelukis terpaksa kembali ke jalanan. Projek naik taraf dekorasi premis dalaman Pasar Seni menyebabkan kos sewaan meningkat hampir 300%.
Pelukis yang mampu bertahan pula, hanya diberikan ruang di galeri kaki lima belakang bangunan utama Pasar Seni (Annex). Dengan keluasan hanya lapan kaki kali sepuluh kaki, caj sewaan lot kecil ini RM1800 sebulan.
Ketika mula dibuka pada 1986, hampir 60 pelukis mencari rezeki di dalam Pasar Seni dengan kadar sewa hanya RM15 sehari.
“Dulu pemilik gunakan pelukis sebagai tarikan artistik Pasar Seni. Sekarang sudah berubah. Ruang premis kini boleh disewakan dengan harga tinggi kepada peniaga produk komersil. Jadi, kami pelukis dianggap menyesakkan laluan saja, ” kata Mahazir Sirat.
Mahazir antara pelopor generasi awal Pasar Seni sejak Mahazir antara pelopor generasi awal Pasar Seni sejak 1986. Dia kini melukis di Jalan Bulan, Bukit Bintang setelah keluar dari Pasar Seni pada 2006.
Lupakan saja Pasar Seni. Apa lagi sejak imejnya sebagai pusat budaya rakyat yang berwajah “Truly Malaysia” sudah lama dihapuskan.
Lagi pun Pasar Seni hari ini sudah dilupakan rakyat Malaysia. Malah, namanya juga tersisih di mata orang tempatan. Pasar Seni kini sudut eksklusif pelancong asing dengan harga mencekik darah.
Semangat asal Pasar Seni sebagai bumbung berkarya bagi seniman jalanan, pelukis, pengusaha kraftangan, penjual produk makanan tradisional dan elemen Malaysia Truly Asia sudah lama dirampas elemen bisnes kapitalis.
Hari ini, pelukis jalanan yang dulunya menjadi peneroka utama Pasar Seni sudah diabaikan. Mereka kembali bersepah di pedestrian jalanan di Bukit Bintang dengan lokasi tanpa bumbung dan papan tanda eksklusif.
“Kami mula melukis jam 9 malam. Waktu pelancong mula memenuhi jalanan. Biasanya sampai 3 pagi. Hampir semua pelanggan adalah pelancong, ” kata Mahazir.
Ramai pelukis kini menumpang sepanjang malam hingga dini hari di pedestrian terbuka dengan berbekalkan permit RM10 ehsan DBKL.
Panorama sedih ini mengulangi sejarah tahun tujuh puluhan ketika pelukis berselerak di bawah pokok di kaki lima Wisma Yakin, Jalan Masjid India.
Perubahan mendadak Kuala Lumpur serta kegagalan seniman dan peniaga kecil Melayu bersaing satu cerita ulangan.
Bagi pembenci istilah “tongkat Bumiputera” atau “subsidi Melayu”, kisah penyisihan ini gambaran ketidak upayaan orang Melayu bersaing. Tidak perlu dikasihani dan jangan ulang soal “bantu Melayu”. Ini era meritokrasi.
Kontraktor kecil angkat bungkusan
Kisah Hassan Ahmad, yang lebih dua dekad menjadi kontraktor kecil pun satu kisah ulangan yang tragik. Epik moden mengenai kegagalan kontraktor Melayu mengubah perniagaan kerana kekangan modal.
Hassan bukan kontraktor biasa. Kepakarannya ialah potensi artistik dalam menyediakan khidmat dekorasi pentas dan sudut pameran. Walaupun pakar dalam seni pertukangan pentas, dua tahun lalu perniagaannya juga turut gulung tikar.
Kisah bisnes Hassan menjadi tragik apabila munculnya era set dekorasi letronik menggunakan teknologi skrin LED. Sejak lima tahun lalu, permintaan terhadap pentas maya menyebabkan kemahirannya dalam seni set pertukangan tangan tidak lagi relevan.
Penganjur lebih suka pada set atau pentas menggunakan dekor skrin layar besar LED dengan teknologi lampu hologram. Semua bisnes ini memerlukan modal baharu jutaan ringgit kerana peralatan teknologi ini menggunakan set letronik definisi tinggi buatan China.
Lebih hebat, sejak dulu – bisnes pembelian peralatan begini semuanya berasaskan bayaran tunai. Malah, tidak ada satu pun bank di negara ini menyediakan pinjaman bagi perniagaan atau pembelian peralatan jenis ini.
“Semua kena beli tunai dan satu skrin lebar lapan kali enam kaki, harganya mencecah RM75 ribu. Paling sikit kena ada 10 set. Itu standard dan demand penganjur sekarang. Paling lekeh untuk acara di foyer pun, kena ada empat set skrin besar. Belum masuk kos peralatan pencahayaan, ” katanya.
Hassan menutup bengkel pertukangan miliknya di Seri Gombak dan kini bekerja dengan bergantung pada panggilan henfon.
“Ada juga orang telefon minta siapkan dekorasi ala kadar. Selalunya program promosi usahawan kecil, ” katanya.
Tanpa mampu memiliki pekerja tetap, tanpa bengkel dan hanya sisa peralatan pertukangan serta sebuah lori kecil, Hassan kini gambaran peniaga Melayu yang rebah ditelan waktu.
Perubahan drastik teknologi digital menyebabkan dekorasi seni pertukangan tangan yang selama ini menjadi kemahiran uniknya, tiba-tibanya dianggap gaya kuno.
“Selama dua puluh tahun berkerja dengan projek sekitar RM50 ribu sampai RM100 ribu per projek, mana nak cekau modal untul tukar semua aset ke teknologi digital, ” katanya.
Peniaga Kompleks Campbell juga angkat kaki
Di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi pula, kumpulan peniaga Melayu turut meninggalkan premis yang disewa sejak dua dekad lalu.
Pada awal dekad sembilan puluhan Tingkat Dua kompleks ini dikuasai peniaga barangan vintaj, tukang jahit dan pembikin peniaga barangan vintaj, tukang jahit dan pembikin barangan kulit.
Suatu ketika dulu lebih 15 premis tingkat atas kompleks tua ini dikuasai peniaga Melayu. Satu simbol bahawa Campbell antara premis hebat di pusat bandaraya yang mampu disewa peniaga kecil Melayu.
“Sekarang kos sewaan antara RM1,800 hingga RM2,500 terlalu mahal untuk kami peniaga kecil terus bertapak di ibu kota, ” kata Suhaimi Hamad.
Baginya yang sudah berniaga selama 14 tahun di Campbell, usaha untuk bertahan sejak lima tahun lalu, kini menemukan titik penghujung.
“Peniagaan merosot antara 40% hingga 50% sebulan dan beban sewaan tinggi antara punca utama kami peniaga kecil terpaksa beralih meninggalkan premis ini.
“Lima tahun terakhir ini, kami bertahan dengan berkongsi dua tiga orang satu kedai. Ada yang lebih awal tutup kedai di sini dan menumpang menyewa bersama. Jadi beban sewa dikongsi, ” katanya.
Namun, kemerosotan jualan yang berpanjangan untuk tempoh lima tahun membuatkan peniaga memilih berpindah dan memulakan bisnes di lokasi baharu.
Kini, Suhaimi bersama beberapa rakan Kompleks Campbell dan peniaga vintaj sekitar Kuala Lumpur berpindah ke Gudang 5, Setor Gombak Batu 4 1/2. Caj sewaan RM500 bagi lot seluas 10 kaki kali 20 kaki persegi di Gudang 5 adalah kos lebih praktis.
Walaupun lokasi agak tercorot dan hanya aktif dilawati pengunjung pada waktu malam, peniaga vintaj tiada pilihan lain.
Bagi tukang jahit berpengalaman, kisahnya juga sama.
“Kami mulakan usaha baru. Walaupun perit sikit untuk mempromosi lokasi Gudang 5, kami kena mencuba. Kemampuan bertahan di premis pusat bandaraya sudah berakhir, ” kata Khusairi Annuar.
Anak rantau yang sejak 22 tahun memiliki kedai di Jalan Raja Bot ini turut meninggalkan premis sewaannya kerana tekanan kekurangan hasil langganan. Gudang 5 di Gombak memang terpencil.
Namun, lebih 50 peniaga yang meneroka lokasi ini yakin, dengan sokongan dan minat berterusan komuniti barangan vintaj, bisnes mereka mampu bertahan.
“Kami teroka kawasan Setor Gombak kerana tiada pilihan. Pemilik gudang ini juga mengalami kemerosotan sewaan. Jadi, kami menyewa beramai- kemerosotan sewaan. Jadi, kami menyewa beramairamai. Kami ubah gudang ini jadi bazar pakaian terpakai, ” kata Khusairi.
Selain ekonomi yang perlahan dan kuasa beli yang merosot teruk, beban tambahan bagi peniaga vintaj ialah isu kejatuhan nilai ringgit.
“Kami membawa masuk pakaian dan kasut terpakai dari Thailand. Sejak lima tahun kebelakangan ini, nilai ringgit merosot hampir 25% berbanding bath. Dulu RM10 dapat 100 Bath. Sekarang tukaran jatuh. Sekarang RM13 untuk dapat 100 bath. Kos harga barang meningkat, ” kata Khusairi.
Selain isu sewa premis yang mahal di Kuala Lumpur, serta kesan kejatuhan ringgit, trend kemunculan peniaga sambilan juga memberikan impak besar.
“Sekarang hidup susah. Ramai anak muda mencari wang saku sebagai peniaga sambilan. Mereka muncul dengan konsep car boot sales yang dianjurkan saban minggu di merata tempat. Peniaga sambilan menjual barangan dengan lebih murah kerana sewa tapak hanya RM5 ke RM10 sehari, ” katanya.
Menurut Khusairi, peniaga sambilan tidak memerlukan margin untung yang tinggi kerana sasaran pendapatan mereka hanya sekadar wang tambahan.
“Trend car boot sale menyebabkan harga barang jualan kami 30% lebih mahal. Pembeli beralih arah setelah membuat perbandingan harga.”
“Nak mula bisnes baru, kami tak ada pengalaman. Apa lagi modal. Malah, keadaan ekonomi sekarang tidak mungkin sesuai untuk memulakan bisnes baru. Jadi, kami bertahan dengan apa yang ada walaupun terpaksa berpindah dari premis dalam kompleks ke lot dalam setor saja, ” kata Khusairi.
Jasa yang dulu terbiar jadi sejarah
Kisah pelukis jalanan, kontraktor pentas dan peniaga vintaj hanyalah cerita kecil. Kisah marhaen Kuala Lumpur yang tersidak jauh daripada agenda arus perdana. Bagi seniman jalanan, nilai kewujudan mereka gagal dipacu demand komersil.
Pelukis bukan bintang pop yang punya pengaruh. Namun, pada tahun 1986, jasa pelukis jalanan yang memulakan proses memberi identiti seni pada ibu kota.
Kehadiran mereka mencetus minat terhadap keupayaan seni lukis sebagai pekerjaan. Apa lagi diberikan ruang di Pasar Budaya dianggap sebagai pengiktirafan kerajaan.
Kisah peniaga kecil pula memang tiada kesudahan. Kuala Lumpur dibanjiri hampir 100 ribu peniaga kecil. Rata-ratanya bertarung hidup terutama pada lima tahun terakhir ini sejak krisis kelembapan ekonomi melanda negara.
Ramai yang sudah gulung tikar, manakala sejumlah yang lain terus bertahan dengan sisa-sisa oksigen yang masih ada. – 28 Julai, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen