SELEPAS hampir lima tahun menyelamatkan anjing dan kucing jalanan secara sukarela, Dr Taqiyudin Zainal sedar beliau tidak boleh selama-lamanya membawa setiap ekor anjing atau kucing tidak bertuan balik ke kliniknya.
Mesti ada usaha untuk menghentikan anjing dan kucing daripada terus terbiar di jalanan, kata lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Orang ramai mesti diberi sedar kepentingan untuk memandulkan haiwan peliharaan kata Taqiyuddin yang mengusahakan rumah perlindungan haiwan Taqwa Animal Shelter di Teluk Panglima Garang.
“Sebenarnya lebih banyak kebaikan daripada apa yang kita panggil stigma sunatkan kucing tak baik kejam. Tetapi kalau kita biarkan kucing-kucing ini bertambah tanpa ada pemilikan dan penjagaan yang sebaiknya.
“Itu lebih kejam,” katanya, dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insight di Klinik Veterinar Taqwa di Sijangkang baru-baru ini.
Taqiyudin, 31, akur ramai suka memelihara anjing atau kucing tetapi tidak banyak yang tahu bagaimana hendak jadi tuan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
Kesedaran masyarakat masih tipis, katanya, namun optimis pemilik anjing atau kucing akan sedar sekiranya mendapat pendedahan.
“Sebab itu saya buka klinik, saya buat promosi untuk (pemilik anjing atau kucing) hantar sebanyak mungkin… kita boleh sunatkan, kita boleh tolong bagi diskaun dan penerangan,” katanya.
The Malaysian Insight sebelum ini pernah melaporkan kisah Taqiyudin berdepan sensitiviti masyarakat melihat seorang doktor Melayu dan Islam berurusan dengan anjing dan bagaimana usahanya mendapat sokongan ibu dan ayah.
Dua tahun lalu, Taqiyudin memulakan operasi tangkap, kasi dan lepas haiwan liar di sekitar Klang, dengan kerjasama pemuda dan jawatankuasa Kampung Sijangkang.
Operasi itu turut melibatkan beberapa doktor haiwan yang menawarkan khidmat secara sukarela.
“Saya akan panggil kawan-kawan yang juga doktor haiwan… mereka tiada klinik dan kelengkapan, jadi saya panggil mereka.
“Mereka selamatkan kucing dan anjing terbiar dan mereka boleh practice ilmu itu. Saya hendak mereka boleh bantu saya. Saya cuma sediakan tempat,” katanya lagi.
Namun Taqiyudin berdepan satu masalah. Beliau perlukan tempat lebih luas dan selesa berbanding di rumah perlindungan dan klinik sedia ada.

“Saya sangat memerlukan pusat perlindungan kerana ia juga menyukarkan kami buat operasi mandulkan anjing terutamanya betina. Anjing betina perlu dipantau lepas bedah tidak seperti anjing jantan.
“Kalau ada tempat yang sesuai, kita tidak perlu lepaskan anjing serta-merta,” katanya.
Atas sebab itulah, Taqiyudin berhajat membina pusat perlindungan haiwan jalanan sebelum akhir tahun ini.
Katanya, beliau sedang mencari tempat yang sesuai, terutama untuk menempatkan anjing liar jauh daripada penduduk demi menjaga sensitiviti masyarakat.
Sebagai jalan pilihan, sekiranya belum ada rezeki membangunkan rumah perlindungan lebih besar dan selesa, Taqiyudin berharap pihak UPM dapat membantu usahanya ini.
“Saya kena jaga sensitiviti. Apa yang penting matlamat saya untuk selamatkan mereka tercapai. Mungkin saya kena keluarkan modal untuk beli tanah untuk shelter,” katanya, yang masih belum memutuskan lokasi pusat perlindungan tersebut.
“Tetapi dalam jangka masa panjang kita mahu buat kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan kita minta tenaga kerja untuk tangkap,” tambahnya.
Walaupun dalam keadaan serba tidak selesa itu, Taqiyudin berusaha memandulkan sehingga 10 ekor anjing liar dalam sebulan.
Bagaimanapun beliau berdepan kekangan dari segi tenaga kerana tidak cukup pembantu untuk menangkap anjing.
“Kadang-kadang ada anjing itu liar dan sukar dikawal. Ada kejadian sewaktu kami hendak tangkap hampir kena gigit. Itu kekangan dia,” katanya.
Semasa wawancara dengan The Malaysian Insight, dua ekor anjing jalanan datang bermain-main di sekitar kawasan klinik itu.
Menurut Taqiyudin, anjing itu adalah anjing jalanan yang mereka selamatkan, beri makan dan mandulkan.
“Itu anjing liar yang datang ke klinik. Saya mula dengan bagi makan dan mereka jadi jinak. Selepas itu saya vaksinkan dan sunatkan anjing itu.
“Selepas itu saya jaga dua minggu di klinik dan kemudian saya lepaskan ke tempat asal,” katanya. – 28 Julai, 2019.
Komen