BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, lebih 10 kedai yang menyajikan teh boba kini muncul di kawasan tumpuan anak muda di SS15 Subang Jaya.
Pelanggan utama kedai minuman teh manis mengandungi bebola kanji ini adalah golongan pelajar kolej yang dilihat tidak putus-putus mengunjungi dereta kedai tersebut.
Mereka tidak kisah beratur berjam-jam lamanya untuk mencuba resipi teh boba berbeza di setiap kedai ini yang banyak dipromosi di media sosial.
Sebaik sahaja mendapat minuman yang dipesan, anak-anak muda ini juga tidak membuang masa untuk berswafoto bersama teh yang dibungkus dalam cawan plastik tersebut.
Keghairahan mereka untuk mendapatkan minuman berkenaan menjadikan lorong sempit berkenaan sesak dengan pelbagai kenderaan.
Rata-rata pelanggan yang ditemui The Malaysian Insight di sini berkata mereka teruja untuk mencuba minuman itu setiap kali jenama baharu muncul di pasaran.
Kini, terdapat lebih 70 jenama teh boba wujud di pasaran, terutama di sekitar Lembah Kelang dan Selangor, dengan setiap satunya menawarkan resipi dan adunan berbeza.
Seorang pelanggan, Shawn Soo, 30, berkata beliau ingin mencuba kesemua teh yang ada di Subang Jaya itu kerana ingin mengikut trend terkini.
“Sebenarnya saya tak suka sangat bubble tea tetapi saya suka mencuba jenama baru kerana sekarang ini, dia seperti satu trend.
“Semuanya saya mahu minum. Saya mahu cuba sikit daripada semua tempat. Contohnya di Subang Jaya kita tahu ada banyak kedai teh boba,” kata jurujual itu kepada The Malaysian Insight.
Kesemua kedai ini menyajikan minuman mengandungi bebola kecil dipanggil mutiara yang dibuat daripada kanji ubi kayu dengan rasa dan tekstur berbeza.
“Teh susu. Bila dah banyak-banyak kedai (buka) saya ingin cuba. Sebab saya suka mutiara dia. Mutiara itu ada yang lembut dan ada yang keras,” kata Afifah Rosli, 26 pula.
Seorang pegawai teknologi maklumat, Amalina Roshdi, 26, berkata butir kanji itulah yang menyebabkannya ketagih pada minuman berkenaan.
“Saya ketagih dengan mutiara itu sebab setiap kedai rasa mutiaranya berbeza. Yang ini pula pertama kali nak cuba jadi nak tahu berbaloi ke tidak,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai.

Selain itu, ada pelanggan yang tertarik dengan teh boba kerana promosi dan diskaun yang ditawarkan selain dekorasi kedai yang cantik.
“Kadang-kadang bayar dengan e-dompet. Kadang-kadang beli dua dapat separuh harga. Macam kalau beli ketika bersama kawan-kawan murahlah,” kata Adibah Ahmad, 30.
Seorang pelajar kolej pula berkata kawasan itu sesuai dikunjungi bagi pelajar sepertinya yang menginginkan kawasan selesa untuk bertemu rakan-rakan.
“Saya suka lepak kawasan ini. Lagipun selepas habis kelas, saya dan kawan-kawan akan lepak di kedai. Selesa dan ada wifi percuma,” kata Maria Dania, 22 seorang pelajar kolej.
Seorang pengusaha kedai teh boba, MK Chin berkata perkara itu menarik beliau untuk membuka perniagaan di Subang Jaya selepas melihat permintaan yang sangat tinggi di situ.
Beliau sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk dekorasi kedai yang cantik demi keselesaan pelanggan, kata pengusaha kedai Feng Cha itu.
“Ramai pemuda Malaysia terutamanya pelajar datang. Jadi, hujung minggu ia ibarat satu fenomena. Semuanya mahu datang ke sini, beli (teh) dan lepak.
“Untuk produk kita, kita ada resepi teh yang sedap kerana aroma gula perang. Cara kita masak mutiara itu juga membuatkannya kenyal dan lembut,” katanya yang baru sebulan beroperasi.
Kerajaan memberi peringatan mengenai kandungan gula yang tinggi dalam teh tersebut dan rata-rata pelanggan memberitahu The Malaysian Insight, mereka maklum dengan perkara itu.
Individu yang ditemui berkata mereka tidak minum berlebihan dan pengusaha juga mendakwa gula yang digunakan dalam resipi teh itu lebih menyihatkan berbanding gula pasir. – 28 Julai, 2019.
Komen