OBJEKTIF utama PAS dan Umno adalah untuk menumbangkan Pakatan Harapan, sama seperti pembangkang sebelum ini, kata Mohamad Hasan.
“Kita bersetuju ia akan menjadi objektif utama kami,” kata timbalan presiden Umno itu kepada perwakilan parti di Lumut hari ini.
“Perkara lain, ia melibatkan pembahagian kerusi,” kata Mohamad sambil menggesa perwakilan Umno bahagian Beruas untuk menolak rasa bimbang dalam bekerjasama dengan musuh lama mereka itu.
Beliau berkata kerjasama Umno dan PAS akan menyaksikan kedua-dua parti mengukuhkan penyatuan Melayu dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.
“Jika bukan kerana pertembungan tiga penjuru, kita mungkin tidak kalah pada pilihan raya lalu,” kata pemimpin berusia 63 tahun itu ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Beruas.
Beliau berkata ahli Umno tidak perlu bimbang tentang pembahagian kerusi kerana tujuan utama mereka adalah menumbangkan Pakatan Harapan.
“Kita akan membiarkan isu kecil seperti pembahagian kerusi kepada presiden kedua-dua parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang.
“Sebagai ahli, kita perlu wala’ (setia) dengan sebarang keputusan mereka,” kata Mohamad.
Beliau berkata kepada perwakilan bahawa syarat kerjasama Umno-PAS sudah diperkukuhkan.
“Langkah seterusnya adalah memuktamadkan rangka kerja kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS,” katanya.
BN kehilangan 21 kerusia kepada PH pada pilihan raya lepas ekoran pertembungan tiga penjuru. Tiga daripadanya adalah Parit Buntar, Tambun dan Lumut di Perak.
Namun Mohamad berkata tidak semua adalah disifatkan sebagai kekalahan walaupun tewas pada pilihan raya lalu.
“Setidak-tidaknya, kekalahan itu membuatkan kita bekerjasama dengan PAS. Tidak perlu lagi kita menyerang mereka dan begitu sebaliknya.
“Ia seperti masa dulu,” kata Mohamad merujuk kepada tahun 1970-an ketika PAS menjadi salah satu parti komponen BN. – 27 Julai, 2019.
Komen