DAP punca PAS berpecah, lahirkan Amanah, kata Mohamad


Chan Kok Leong

Umno dan PAS percaya bahawa mereka boleh mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dengan mengelakkan pertandingan tiga penjuru di kalangan mereka dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sokongan orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2019.

DAP menjadi punca PAS berpecah-belah pada 2015, kata Mohamad Hasan.

“Objektif DAP adalah untuk pecah-belah semua orang. Mereka begitu pandai sehingga berjaya memecahkan PAS,” kata timbalan presiden Umno itu kepada perwakilan di Lumut hari ini.

Mohamad mendakwa DAP mempengaruhi bekas pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub untuk meninggalkan parti mereka sekaligus menubuhkan Amanah.

Justeru, tidak menghairankan Amanah dilihat menyokong semua rancangan DAP, kata ahli politik berusia 63 tahun itu.

Mohamad juga mengulangi kenyataan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi pada minggu ini bahawa Umno tidak boleh bekerjasama dengan DAP.

“Jika anda membaca kenyataan mereka pada 1969 (mengenai Malaysian Malaysia), anda akan faham mengapa kita tidak boleh terima mereka,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut.

Selepas pilihan raya umum yang lalu Umno dan PAS saling bekerjasama, sementara DAP menjadi tumpuan serangan mereka untuk menarik sokongan pengundi Melayu konservatif.

Menurut Umno, ideologi berbilang kaum DAP tidak sesuai di negara di mana kaum majoriti adalah Melayu. Sokongan yang diraih Umno di kalangan orang Melayu yang berpendidikan lebih baik semakin merosot dan kini parti itu dilihat hanya bergantung dengan sokongan penyokong dari luar bandar.

Umno dan PAS percaya bahawa mereka boleh mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dengan mengelakkan pertandingan tiga penjuru di kalangan mereka dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sokongan orang Melayu.

Sementara itu, Mohamad turut menyalahkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana berterusan membangkitkan isu mengenai pembayaran balik GST bernilai RM19.4 bilion yang didakwa lesap.

“Dia berkata di Parlimen bahawa kerajaan telah dirompak sebanyak RM19.4 bilion tetapi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapati sebaliknya,” kata bekas ahli perbankan dan CEO Cold Storage itui.

Beliau turut berkata wang itu tidak hilang “seperti yang didakwa oleh Lim tetapi diletakkan di dalam Akaun kerajaan yang disatukan.

“Negara-negara lain melakukan perkara serupa. Mereka meletakkan wang itu ke dalam akaun yang disatukan dan apabila mereka perlu bayar balik, mereka akan gerakkan wang ke dalam akaun pengembalian dana,” kata Mohamad.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa bekas kerajaan Barisan Nasional tidak mematuhi undang-undang sedia ada berhubung pengembalian bayaran balik GST dan mengapa kerajaan gagal membayar balik pembayar cukai GST selama tiga tahun. – 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen