SEKATAN ke luar negara yang dibuat oleh kerajaan Dr Mahathir Mohamad secara tidak langsung membantu menjayakan kempen “Bossku” kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib berkata, kesempatan itu telah digunakan beliau untuk bergerak keseluruh negara bertemu dengan rakyat untuk membangkitkan isu yang didakwa gagal ditangani kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya untung kerana saya boleh pergi mana-mana tempat dalam negara. Kalau perdana menteri benarkan saya keluar mungkin tidak jadi fenomena ‘Bossku’,” katanya.
Dalam ucapan sewaktu merasmikan mesyuarat Umno Permatang Pauh di Tasek Gelugor hari ini, Najib turut berkata kempen itu diterima kerana beliau dilihat berani menentang kerajaan.
“Ribuan rakyat sanggup menunggu saya kerana melihat saya berani melawan PH. Mereka hendak orang yang berani lawan PH dan saya tidak akan undur dari lawan PH.
“Keduanya sebab mereka hendak tunjuk rasa tidak puas hati, kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini. Hari ini keadaanya tidak diurus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata sokongan itu antara lain ditunjukkan golongan penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menurutnya tidak berpuas hati kerana diabaikan kerajaan.
“Penjawat awam, pasukan keselamatan semua sudah rasa kecewa. Gaji mereka yang sepatutnya ada kenaikkan khas pada tahun 2018, dibatalkan. Naik gaji naik pencen juga.
“Guru juga begitu. Pangkat naik tetapi gaji tidak naik,” ujarnya.
Najib disekat ke luar negara sejurus selepas Dr Mahathir sah dilantik sebagai perdana menteri pada tahun lalu.
Kempen “Bossku” dilancarkan Najib pada Januari lalu, antara lain memaparkannya sebagai tokoh yang dekat dengan golongan kelas bawah untuk menghakis imej bangsawan dan mewah.
Siasatan ke atas kes yang dihadapi Najib antara lain melibatkan rampasan barang kemas, wang tunai serta aksesori mewah yang menurut polis berjumlah lebih RM1 bilion. – 27 Julai, 2019.
Komen