Bossku dan PAS bantu rampas Putrajaya, kata Najib


SM Amin

Najib Razak mengulangi keyakinan bahawa kerjasama itu akan membolehkan mereka menang apabila merampas 32 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Gambar The Malaysian Insight, 27 Julai, 2019.

SATU-SATUNYA cara untuk Umno menang dalam pilihan raya akan datang adalah melalui kerjasama dengan PAS, kata penasihat Barisan Nasional Najib Razak.

Beliau mengulangi keyakinan bahawa kerjasama itu akan membolehkan mereka menang apabila merampas 32 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bila kita bersama, kita sudah baca, kita akan tambah 32 kerusi Parlimen. Ini yang ditakuti oleh mereka. 

“Kita pakat-pakatlah dengan baik satu kerusi satu calon. Inilah sahaja yang akan menyelamatkan kita. Saya yakin ada cahaya dihujung terowong yang menanti kita semua,” katanya.

Najib juga percaya pengaruhnya yang dicipta melalui kempen “Bossku” akan membantu parti memenangi semula Putrajaya.

“Kita ada tiga unsur yang menyokong kita. Kita ada Umno yang sudah pulih semangatnya, muafakat dengan PAS dan kita juga ada fenomena ‘Bossku’. 

“Tiga unsur ini akan menentukan masa depan kita pada PRU15,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Permatang Pauh di Tasek Gelugor hari ini.

Beliau turut mengakui silap membuat percaturan kerana membenarkan Umno bertembung dengan PAS dalam PRU14 yang menyebabkan undi kedua-dua parti itu berpecah.

Dalam PRU14 lalu, BN hanya memenangi 32 kerusi Parlimen daripada 77 kerusi yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, manakala PAS 23 kerusi dan PH menang 22 kerusi.

Ia menyebabkan BN tewas buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia apabila hanya mendapat 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

Umno yang menang 54 kerusi Parlimen ketika itu, kini hanya tinggal 37 kerusi selepas 17 ahli parlimen parti itu bertindak keluar parti. – 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen