MENTERI Ekonomi dan Kewangan Perancis, Bruno Le Maire, pada Jumaat berkata, cukai digital terhadap gergasi internet adalah ‘keputusan kerajaan’ yang bakal dilaksanakan, menepis ancaman tindak balas keras Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Xinhua.
“Perancis akan melaksanakan keputusan kerajaan,” lapor akhbar Perancis, Le Figaro memetik kenyataan Le Maire yang mengulas mengenai amaran dikeluarkan Presiden Donald Trump.
“Langkah mengenakan cukai terhadap aktiviti digital adalah cabaran yang menggusarkan kita semua. Kami mahu mencapai persetujuan mengenai perkara ini dalam kerangka G7 dan OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan),” kata Le Maire.
Parlimen Perancis meluluskan undang-undang baharu terhadap gergasi digital itu pada 11 Julai lalu, menjadikan Perancis sebagai negara pertama mengenakan cukai ke atas syarikat “GAFA” seperti Google, Amazon, Facebook dan Apple.
“Jika ada sesiapa yang mengenakan cukai, ia seharusnya di negara tempat mereka beroperasi iaitu AS. Kami akan mengumumkan tindak balas keras terhadap kebodohan mereka tidak lama lagi.
“Banyak kali sudah saya katakan, wain AS lebih baik daripada wain Perancis,” tulis Trump dalam laman media sosial Twitter.
Cukai Perkhidmatan Digital Perancis (DST) mengenakan cukai 3% terhadap pendapatan tahunan yang diperoleh sesetengah syarikat kerana menyediakan perkhidmatan digital tertentu kepada, atau buat pengguna Perancis.
Cukai terbabit akan dikenakan hanya kepada syarikat yang mempunyai perolehan melebihi 750 juta euro daripada hasil aktiviti mereka di seluruh dunia.
Rang undang-undang percukaian ini pada mulanya diluluskan Dewan Rakyat Perancis pada 4 Julai. Ia dijangka mampu menghasilkan kutipan cukai sebanyak 400 juta euro tahun ini dan 650 juta euro menjelang 2022.
Meskipun kaedah percukaian ini terbantut dalam rundingan cukai Kesatuan Eropah di Brussels, Kerajaan Perancis memutuskan untuk mengenakan cukai berkenaan di peringkat negara itu terlebih dulu.
Sebagai tindak balas, Perwakilan Perdagangan Amerika (USTR) mengumumkan ia sudah melancarkan siasatan terhadap undang-undang Perancis dan kesannya terhadap perniagaan AS.
Langkah USTR dibuat menerusi Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, mendakwa “kerajaan Perancis secara tidak adil menyasarkan cukai terhadap syarikat teknologi AS”.
Ia juga memetik Seksyen 301 berhubung siasatan dan campur tangan kerajaan asing.
Seksyen 301 ini adalah sebahagian daripada undang-undang perdangangan lama Amerika yang diluluskan pada 1974 bagi membolehkan presiden AS secara sepihak mengenakan tarif atau sekatan dagangan ke atas negara asing. – Bernama, 27 Julai, 2019.
Komen