8 maut dalam gempa berkembar di Filipina


Dua gempa itu melanda daerah Batanes, kepulauan terletak di Luzon, utara Filipina. – Gambar AFP, 27 Julai, 2019.

LAPAN orang terbunuh dan berpuluh yang lain cedera apabila dua gempa bumi melanda kepulauan di utara Filipina awal hari ini ketika penduduk sedang tidur, kata pegawai tempatan.

Dua gempa itu melanda daerah Batanes, kepulauan terletak di Luzon, utara Filipina.

Penduduk yang ketakutan bertempiaran lari meninggalkan rumah mereka dan media Filipina menayangkan imej rumah runtuh serta batu terbenam di jalan raya yang rosak teruk.

Gempa- berukuran 5.4 dan 5.9- itu berlaku dalam tempoh beberapa jam, menurut Kajian Geologikal AS. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Ramai penduduk masih tidur ketika gempa pertama melanda sekitar jam 4.15 pagi, disusuli gempa kedua empat jam kemudian.

Datuk Bandar Raul de Sagon memberitahu AFP yang lapan orang terbunuh dan hampir 60 pula cedera. Tahap kecederaan mereka belum dapat dipastikan.

Filipina terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan rentan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.

Gempa sebelum ini berlaku pada April di negara itu membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan meruntuhkan sebuah kompleks beli belah apabila gempa sekuat 6.3 melanda utara Manila. – AFP, 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen