SEKURANG-KURANGNYA 56 warga Palestin cedera pada Jumaat ketika bertempur dengan tentera rejim Israel di timur Gaza, lapor agensi berita Xinhua.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Ashraf al-Qedra di Gaza memberitahu pemberita, 38 daripadanya ditembak oleh askar Israel dengan menggunakan peluru hidup.
Mereka yang cedera termasuk 22 kanak-kanak dan tiga wanita. Tentera Israel turut menyasarkan ambulans perkhidmatan perubatan, kata al-Qedra.
Pertempuran tercetus apabila ratusan penunjuk perasaan yang menyertai bantahan mingguan yang diadakan di Gaza, dikenali perarakan pulang besar-besaran atau “Great March of Return”.
Bantahan itu untuk menuntut rejim zionis mengakhiri sekatan yang dikenakan di Semenanjung Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel telah membunuh 306 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 17,000 yang lain sejak perhimpunan itu bermula Mac tahun lalu. – Bernama, 27 Julai, 2019.
Komen