ENTITI dipercayai meteorit sebesar bola sepak jatuh ke sebuah sawah padi di timur India sehingga mewujudkan ketakutan dalam kalangan petani, kata pihak berkuasa pada Khamis.
Saksi berkata objek berwarna coklat cair itu menyebabkan mereka bertempiaran lari dari sawah apabila ia jatuh di perkampungan mereka pada tengahari Rabu.
“Petani sedang bekerja di sawah padi apabila batu itu jatuh dari langit dengan dentuman kuat,” kata Majistret daerah Madhubani negeri Bihar Shirsat Kapil Ashok kepada AFP
Penduduk kampung kembali ke sawah padi itu selepas asap mula berkurangan dan menarik keluar batu itu daripada lubang sedalam empat kaki yang terbentuk kerana hentamannya.
“Kami lihat ia ada tarikan magnetik yang kuat, bersinar dan seberat sekitar 15 kilogram,” tambah Ashok.
Batu itu sedang dikaji ahli sains untuk menentukan sumbernya.
Meteor adalah kumpulan debu dan batu yang selalunya terbakar sebaik sahaja melalui atmosfera Bumi, tetapi ada juga yang terlepas dan jatuh ke Bumi dan dikenali sebagai meteorit.
Pada 2016, pihak berkuasa di Tamil Nadu berkata sebutir meteorit membunuh seorang pemandu bas dan mencederakan tiga yang lain.
Walaupun dakwaan itu disokong ahli sains India, agensi angkasa lepas AS, Nasa tidak percaya objek itu adalah meteorit.
Pada Februari 2013, sebutir meteorit terhempas di Pergunungan Ural, Rusia, mencetuskan gelombang kejutan yang mencederakan hampir 1,200 orang dan merosakkan ribuan rumah. – AFP, 27 Julai, 2019.
Komen