269 pendatang diselamatkan di perairan Libya


Persatuan Bulan Sabit Merah Libya menemui 60 mayat pendatang tanpa izin di pantai barat negara itu, termasuk wanita dan kanak-kanak. – Gambar AFP, 27 Julai, 2019.

TENTERA laut Libya menyelamatkan 269 pendatang tanpa izin dalam dua operasi berasingan di barat Libya, kata jurucakap angkatan laut pada Jumaat.

“Operasi pertama seramai 182 imigran dalam dua bot getah diselamatkan, termasuk sembilan wanita dan dua kanak-kanak,” kata Ayob Qassem kepada agensi berita Xinhua.

Operasi itu diadakan kira-kira 55km timur ibu negara Tripoli, tambah Qassem.

Sementara itu, seramai 87 imigran diselamatkan dalam operasi kedua selepas bot getah mereka rosak.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Khamis mengatakan lebih 100 pendatang tanpa izin hilang dari pantai barat Libya, sementara 140 yang lain diselamatkan.

“Andai anggaran itu betul, ia kehilangan nyawa paling ramai di Mediterranean pada 2019,” kata jurucakap UNHCR Charlie Yaxley.

Berikutan kekacauan dan huru hara di utara negara Afrika, Libya menjadi lokasi pilihan kepada pendatang tanpa izin yang ingin menyeberangi Mediterranean menuju ke Eropah, kebanyakannya lemas ketika dalam perjalanan.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Libya pada Jumaat menemui 60 mayat pendatang tanpa izin di pantai barat negara itu, termasuk wanita dan kanak-kanak selepas bot yang mereka naiki tenggelam di pantai kota Khoms, kira-kira 120km di timur Tripoli. – Bernama, 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen