Trump ugut kenakan tarif import kepada produk Apple


Apple mahu tarif import dikecualikan untuk komponen Mac Pro terbarunya, mendakwa beberapa komponen hanya boleh dibuat di China. – Gambar EPA, 27 Julai, 2019.

PRESIDEN Donald Trump semalam memberi amaran beliau akan menolak permohonan Apple untuk pengecualian tarif komponen perantinya yang diimport dari China, dalam usaha memberi tekanan kepada gergasi teknologi itu memindahkan proses pengeluarannya ke Amerika Syarikat.

“Apple tidak akan diberikan pengecualian tarif untuk komponen Mac Pro yang dibuat di China. Buat ia di USA, bukan tarif!” kata Trump di Twitter.

Trump turut memberitahu wartawan perkara sama, beliau mahu Apple membuat komponen perantinya di AS.

“Bila saya dengar ia akan dibuat di China, saya kata bila awak hantar produk awak ke AS, kami akan kenakan tarif kepada anda.”

Minggu lepas, Apple memfailkan permohonan dengan wakil perdagangan AS, berkata komponen tertentu untuk komputer Mac Pro terbaru berharga AS$6,000 hanya boleh dibuat di China dan perlu dikecualikan tarif AS.

Langkah itu berlaku ketika wujud ketegangan antara dua kuasa besar ekonomi itu, yang kini sedang cuba menyambung kembali rundingan bagi menamatkan perang perdagangan.

Trump sudah mengeluarkan banyak ugutan mengenakan tarif tinggi ke atas pelbagai barangan bagi memberi tekanan kepada Beijing untuk menerima lebih banyak produk import dan meningkatkan perlindungan kepada harta intelek AS.

Trump turut memuji CEO Apple Tim Cook, berkata beliau adalah seseorang “yang saya sangat suka dan hormat”.

“Kami akan atasi perkara ini. Saya fikir mereka akan umum akan membina sebuah kilang di Texas. Jika mereka buat begitu, saya akan sangat gembira,” katanya. – AFP, 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen