Presiden mati, Tunisia berkabung, pilihan raya tergempar September


Konvoi mengiringi kenderaan membawa jenazah presiden Beji Caid Essebsi dari hospital ke istana presiden di Carthage, semalam. – Gambar AFP, 27 Julai, 2019.

TUNISIA sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya tergempar awal September susulan kematian presiden Beji Caid Essebsi, dan masih tiada ketentuan tentang siapa bakal menerajui negara Afrika Utara itu.

Essebsi, ketua negara itu yang pertama dipilih menerusi pilihan raya di seluruh negara, meninggal dunia Khamis pada usia 92 tahun, mencetuskan kebimbangan akan berlaku ketegangan politik di negara itu.

Akhbar semalam memberi penghormatan kepadanya dengan gelaran “bapa konsensus”, sementara semua festival dibatalkan dan kerajaan mengisytiharkan tujuh hari berkabung.

Ratusan orang ramai – dengan ada yang menangis, sebahagiannya menyanyikan lagu negara – berkumpul di luar hospital tentera di Tunis semalam ketika jenazah Essebsi dibawa ke istana presiden di Carthage.

Beberapa jam selepas kematian Essebsi, Speaker Parlimen Mohamed Ennaceur mengangkat sumpah sebagai presiden interim, di mana mengikut perlembagaan beliau ada 90 hari untuk mengadakan pilihan raya presiden.

Suruhanjaya pilihan raya berkata hari mengundi mungkin diadakan pada 15 September, dua bulan lebih awal dari yang dirancang sebelum ini.

Algeria, Libya, Mesir, Jordan dan Mauritania turut mengisytiharkan tiga hari berkabung, sementara Presiden Donald Trump di White House menyampaikan ucapan penghargaan untuk Essebsi.

Upacara pengebumian akan diadakan hari ini dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, pemimpin Palestin Mahmud Abbas dan Presiden interim Algeria Abdelkader Bensalah dijangka hadir.

Essebsi akan dikebumikan di kawasan perkuburan keluarganya di tengah Tunis. – AFP, 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen