DUA remaja yang menjadi suspek kes pembunuhan kini diburu di kawasan hutan tebal di tengah Kanada – hutan yang turut dihuni serigala dan beruang, dalam operasi mencari besar-besaran dilancarkan polis.
Sejak Selasa, kampung Gillam berhampiran Hudson Bay berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, yang dikehendaki kerana disyaki melakukan tiga pembunuhan, dipercayai berada di kawasan itu.
Mereka dipercayai membunuh Lucas Fowler, warga Australia dan teman wanitanya, seorang warga Amerika Syarikat, Chynna Deese, serta seorang warga emas rakyat Kanada, Leonard Dyck, 64.
Polis mengandaikan dua remaja Kanada itu bersenjata dan berbahaya dan memberi amaran kepada penduduk supaya jangan mendekati mereka.
Dua suspek yang kini dalam pelarian itu dipercayai berada di perkampungan di wilayah Manitoba, 1,000km utara Winnipeg selepas adegan paling epik, kejar-mengejar sejauh 2,000 batu merentasi tiga wilayah yang bermula di British Columbia, pantai Pasifik, di mana tiga mangsa terbabit ditemui awal bulan ini.
Polis pada mulanya menganggap dua remaja terbabit sebagai “hilang” selepas kereta mereka ditemui terbakar pada Jumaat.
Tetapi polis menemui mayat yang kemudian dikenal pasti sebagai Dyck, seorang profesor botani di Universiti British Columbia, berhampiran satu lagi kenderaan yang dibakar, dipercayai digunakan oleh dua suspek.
Fowler, 23, dan Deese, 24, ditemui dengan kesan tembakan pada 15 Julai, di tepi jalan berhampiran Lebuh raya Alaska dekat Liard Hot Springs, British Columbia. – AFP, 27 Julai, 2019.
Komen