Isu afidavit Hamid Sultan, peguam fail permohonan mencelah


Bede Hong

Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan permohonan mencelah ke atas permohonan ketua hakim negara yang mahu membuang sebahagian afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

PEGUAM Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan permohonan mencelah ke atas permohonan ketua hakim negara yang mahu melucutkan sebahagian afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Afidavit Hamid mendakwa berlaku korupsi dan salah laku dalam badan kehakiman negara.

Sekiranya permohonan itu ditolak, peguam itu mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkannya bertindak sebagai “amicus curiae”- atau rakan mahkamah- dalam permohonan ketua hakim untuk melucutkan sebahagian afidavit dikeluarkan Hamid bagi menyokong saman difailkan peguam Sangeet Kaur Deo.

Sangeet yang merupakan anak perempuan mendiang veteran DAP Karpal Singh, dalam saman difailkan awal tahun ini, mendakwa ketua hakim negara gagal bertindak terhadap dakwaan salah laku hakim didedahkan afidavit Hamid.

Permohonan Haniff itu dilihat The Malaysian Insight.

Peguam itu menerusi catatan di Facebooknya tahun lepas mengenai kes hasutan Karpal berkata wujud campur tangan badan kehakiman ketika kes itu dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 2016.

Haniff juga mendakwa beberapa hakim bersubahat dengan beberapa ahli politik untuk melakukan penipuan berkaitan kontrak kerajaan.

Tambahnya, beliau mempunyai hak untuk mencelah kerana afidavit Hamid adalah kunci utama saman Sangeet. Haniff adalah peguam Hamid. 

Katanya lagi, beliau mempunyai kepentingan selaku penyokong utama penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dijanjikan kerajaan pada 21 Februari lalu untuk menyiasat dakwaan salah laku badan kehakiman.

Sekiranya, kerajaan gagal menubuhkan RCI, katanya, beliau boleh dianggap prejudis. 

Sangeet memfailkan saman ketika Richard Malanjum masih ketua hakim.

Awal bulan ini, beliau meminta Ketua Hakim Negara baharu Tengku Maimun Tuan Mat untuk membuka semula siasatan ke atas dakwaan wujudnya campur tangan hakim dalam dua kes.

Kes itu adalah kes hasutan mendiang ayahnya dan kes tukar agama anak M Indira Gandhi.

Dalam kes mendiang ayahnya, Sangeet berkata penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan ayahnya tidak mempertimbangkan dakwaan wujudnya campur tangan hakim ketika kes dibicarakan di Mahkamah Rayuan.

Dakwaan wujudnya campur tangan itu pertama kali dibuat Hamid pada sebuah majlis Badan Peguam tahun lepas.

Hamid kemudiannya memfailkan afidavit untuk menyokong saman Sangeet terhadap ketua hakim negara.

Karpal didakwa di bawah Akta Hasutan dan disabitkan bersalah beberapa bulan sebelum kematiannya.

Beliau meninggal dunia pada April 2014 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Pada 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan itu. Penghakiman itu didakwa dikeluarkan kerana wujud campur tangan kehakiman.

Tengku Maimun adalah salah seorang hakim dalam panel hakim Mahkamah Rayuan yang mengadili kes Karpal pada 2016.

Beliau adalah hakim minoriti menentang keputusan majoriti hakim untuk mengekalkan sabitan bersalah terhadap Karpal ketika itu. – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen