Penduduk Dungun harap ECRL rangsang ekonomi tempatan


Ragananthini Vethasalam

Penduduk Dungun berharap projek ECRL akan membawa pembangunan ke negeri pantai timur itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Julai, 2019.

PENDUDUK Dungun, Terengganu berbeza pandangan tentang kemampuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk merangsang ekonomi bandar “hidup segan, mati tak mahu” pesisir pantai itu.

Walaupun, ada dalam kalangan mereka yang bersetuju projek perhubungan awam itu berpotensi membawa lebih banyak peluang ekonomi bagi manfaat ekonomi tempatan, ada juga yang bimbang perniagaan mereka bakal terjejas.

Bagaimanapun, rata-rata penduduk bandar bekas lombong bijih timah itu bersetuju projek mega itu boleh menambah baik sistem pengangkutan daerah itu.

Zulkarnain Ali, seorang peraih makanan laut, memberitahu The Malaysian Insight yang kebimbangan ramai peniaga tempatan sepertinya adalah mereka bakal terjejas dengan kehadiran laluan kereta api yang memudahkan kemasukan produk luar ke Dungun khususnya dan Terengganu, amnya.

“Apa akan terjadi kepada ikan dan barangan lain nelayan tempatan? Akan ada ikan dari luar. Nelayan tidak akan terjejas tetapi peraih seperti saya akan terkesan,” katanya.

Menurutnya lagi, peraih ikan di situ sudah lama mengimport makanan laut untuk dijual di Dungun.

Seorang lagi peraih makanan laut, yang hanya mahu dikenali sebagai Zuki yang jual menjual ikan diperolehi dari kawasan lain, bagaimanapun, berkata projek mega itu tidak akan menjejaskan perniagaannya.

Tambahnya, hasil tangkapan tempatan sentiasa tidak mencukupi menyebabkan makanan laut perlu diimport dari Thailand.

“Ketika musim tengkujuh, langsung tiada makanan laut.”

Zulkarnain Ali, seorang peraih ikan meluahkan kebimbangan ECRL boleh menjejaskan perniagaannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Julai, 2019.

Dalam aspek pelancongan pula, Dungun adalah pintu masuk ke kawasan utama tarikan pelancong, Pulau Tenggol, sejam perjalanan dari daerah itu.

Nur Amalina, yang bekerja di sebuah hotel terletak kira-kira empat kilometer dari tapak projek ECRL pula berkata, kehadiran landasan kereta api di Dungun akan menjana aktiviti ekonomi.

“Dungun sebuah bandar kecil. Saya harap ia akan membangun memandangkan sekarang ada infrastruktur begitu (ECRL).”

Tambahnya, projek itu akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta menarik lebih ramai pelancong ke Dungun.

“Jumlah pelancong sekarang tak menentu. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang kurang.”

Nur Ubaidah, yang juga bekerja di hotel berhampiran tapak projek sependapat dengan Nur Amalina.

“Dengan adanya ECRL, lebih ramai orang akan melawat Dungun,” katanya.

Pilihan pengangkutan awam terbaru

Penduduk tempatan juga berpandangan yang ECRL bakal memudahkan perjalanan ke negeri lain.

Nur Amalina dan Zulkarnain berkata, selama ini penduduk bergantung kepada perkhidmatan bas awam untuk ke bandar lain, tetapi dengan kehadiran ECRL, perjalanan akan jadi lebih selesa.

Manakala Wan Muhammad Dhailul pula berkata sudah lama Dungun tidak mempunyai landasan kereta api.

“Dulu pernah ada, tapi sekarang sudah tak berfungsi. Dengan adanya ECRL, Dungun kembali ada kereta api.”

Terowong ECRL di Dungun. Projek itu dilancarkan semula Khamis lalu, mencetuskan harapan penduduk tempatan ia mampu merangsang ekonomi daerah itu. – Gambar EPA, 26 Julai, 2019.

Zaty Ambrina pula berkata beliau gembira projek itu disambung pembinaannya.

Pembantu restoran itu berkata dengan wujudnya landasan kereta api di Dungun, pembangunan akan berlaku di daerah itu.

ERCL adalah projek landasan kereta api sepanjang 640km menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Terdapat 20 buah stesen di sepanjang laluan itu.

Pembinaannya disambung semula pada April, selepas kejayaan rundingan semula dilakukan Putrajay dengan Beijing dan kontraktor utama projek itu China Communications Construction Co Ltd. Rundingan semula itu berjaya menurunkan kosnya kepada RM22 bilion berbanding RM44 bilion sebelum ini.

ECRL dilancarkan sekali lagi secara rasmi pada Khamis lalu, dan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026. – 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen