Jepun mahu singkir Korea Selatan dari senarai rakan dagangan


Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga berkata hasrat untuk menyingkirkan Korea Selatan daripada senarai rakan dagangan utama adalah satu langkah yang wajar. – Gambar AFP, 26 Julai, 2019.

JEPUN membayangkan hasrat untuk menyingkirkan Korea Selatan daripada senarai rakan dagangan utama, sekaligus menggambarkan sengketa yang semakin memuncak antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Anadolu.

Langkah itu adalah sebahagian perang dagangan yang tercetus antara kedua-dua negara, selepas Tokyo mengenakan sekatan eksport ke atas Korea Selatan untuk tiga barangan elektronik penting, awal Julai lalu.

“Jepun akan membuat keputusan pada 2 Ogos sama ada mengeluarkan Korea Selatan dari senarai negara yang dibenar berdagang, untuk membeli produk dwiguna yang boleh ditukar untuk kegunaan ketenteraan,” lapor Kyodo Jepun.

“Kami percaya ia satu langkah yang wajar untuk mengeluarkan (Korea Selatan) daripada senarai putih,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga.

Namun, ujarnya perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Pelan itu andai diluluskan, akan dilaksanakan pada akhir Ogos. 

Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung Wha menggesa rakan sejawatannya dari Jepun untuk menimbang semula rancangan itu.

“Tindakan itu akan memburukkan lagi keadaan,“katanya.

Menteri itu mahu Tokyo menarik balik sekatan eksport yang dikenakan ke atas Korea Selatan.

Hubungan kedua-dua negara menjadi dingin, selepas mahkamah Korea pada Oktober lalu memerintahkan syarikat Jepun untuk membayar pampasan kepada mangsa perang. Namun, Tokyo enggan berbuat demikian. 

Jepun, yang telah menawan Semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945, didakwa melakukan pelanggaran hak yang serius. 

Tokyo menyifatkan perintah mahkamah Korea itu telah menghakis kepercayaan yang wujud selama ini. – Bernama, 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen